Saturday 30 April 2016

Tanya si anak, "Mak dan ayah dah sediakan belum pelan pendidikan saya...?"

Entri 34
Teks : Mohd Azhar Awang

Matlamat Pelaburan : Pendidikan anak
Tempoh Masa            : Sehingga 18 tahun

Saya teringat zaman saya masuk universiti dulu, saya mendapat pinjaman dari Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menampung perbelanjaan pendidikan saya. Kemudiannya, kerajaan memperkenalkan pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membiayai kos pendidikan rakyat Malaysia. Setahu saya pinjaman dari PTPTN masih diperkenalkan sehingga sekarang walaupun PTPTN menghadapi sedikit masalah peminjam-peminjam yang gagal membayar balik pinjaman mereka menyebabkan tabung PTPTN untuk memberi pinjaman seterusnya kepada pelajar lain semakin berkurang.
 
Saya dikira bernasib baik kerana saya berjaya masuk ke universiti awam dan kerajaan mampu untuk menyediakan dana untuk membiayai pendidikan anak-anak Malaysia pada ketika tersebut. Namun, suatu yang kita perlu ingat, suatu yang tersedia pada masa yang lepas tidak semestinya akan tersedia pada masa akan datang. Kita perlu bersedia dengan segala kemungkinan sebagai contoh tempat yang terhad di universiti awam yang mana kita mungkin perlu menghantar anak kita ke universiti swasta untuk menyambung pengajian mereka. Anak-anak bila membesar akan memerlukan dana untuk membiayai pendidikan mereka dan sebaiknya kita sendiri yang menyediakan dana tersebut supaya kita lebih bersedia atas segala kemungkinan yang mungkin berlaku. Kita perlu bersedia seandainya nanti anak-anak kita bertanyakan soalan berikut, "Mak dan ayah dah sediakan belum pelan pendidikan saya...?"

Banyak faktor yang perlu di ambilkira dalam menyediakan pelan pendidikan untuk anak ini, yang mana faktor-faktornya saya senaraikan seperti berikut:-

1) Faktor Pilihan Tempat Belajar

Pilihan tempat belajar memainkan peranan yang penting dalam menyediakan tabung pendidikan untuk anak-anak kita. Sudah tentu dana yang diperlukan adalah jauh lebih murah jika kita berjaya meletakkan anak kita di universiti awam. Kos yang diperlukan akan semakin meningkat mengikut unjuran berikut:

Universiti Awam >> Universiti Separa Kerajaan >> Universiti Swasta Dalam Negara >> Universiti Luar Negara Dengan Kampus Tempatan >>Universiti Luar Negara Sepenuhnya.
 
2)  Faktor Inflasi

Kita tidak sepatutnya berada dalam keadaan pada ketika kita mahu menggunakan wang tersebut untuk pendidikan anak, jumlah yang diperlukan menjadi tidak cukup akibat faktor inflasi. Disinilah pentingnya kita menyimpan untuk tabung pendidikan anak kita di tempat yang betul yang mana unjuran pulangan untuk simpanan yang kita buat tersebut semestinya mengatasi kadar inflasi dengan menyimpan di unit amanah sebagai contoh. 

3) Faktor Kecairan

Walaupun objektif kita untuk tabung simpanan anak kita adalah untuk tempoh jangkamasa yang panjang, adalah penting bahawa dana tersebut mempunyai kecairan yang mana kita boleh mengakses dana tersebut apabila kita memerlukannya untuk pendidikan anak kita. Menyimpan di unit amanah memberikan kecairan tersebut berbanding dengan menyimpan dalam bentuk rumah dan sebagainya. Jika menyimpan dalam bentuk rumah, kita tidak mahu kita terperangkap dalam situasi kita tidak dapat mencari pembeli tepat pada masanya di saat kita memerlukan dana pendidikan tersebut untuk membiayai pendidikan anak kita.

4) Faktor Masa

Menyediakan pelan pendidikan untuk anak ini sebaiknya ketika anak kita baru lahir supaya kita dapat kuasa pulangan berganda dalam tempoh masa yang lebih lama. Sebagai contoh, jika kita berhasrat untuk menyediakan RM150,000 untuk tabung pendidikan anak kita apabila mereka berumur 18 tahun, kita hanya perlu menyimpan sebanyak RM321 sebulan jika kita terus mula menyimpan ketika mereka baru lahir.

Akan tetapi jika kita hanya bermula ketika anak kita berumur 8 tahun, maka kita perlu menyimpan sebanyak RM830 sebulan untuk mencapai jumlah RM150,000 ketika mereka berumur 18 tahun nanti. Jika kita bermula pada ketika anak berumur 8 tahun, bukan hanya kita perlu menyimpan dengan jumlah bulanan yang jauh lebih besar lebih dari dua kali ganda, kita juga perlu menyimpan dengan jumlah yang lebih besar iaitu hampir seratus ribu ringgit berbanding dengan hanya hampir tujuh puluh ribu ringgit jika kita bermula sebaik anak baru lahir.

Umur anak semasa bermula pelaburan (tahun)
0
8
Tempoh pulangan berganda (tahun)
18
10
Pelaburan bulanan (RM)
321
830
Jumlah yang dilabur (RM)
69,336
99,600
 
 
 
Jumlah pelaburan* pada ketika anak berumur 18 tahun (RM)
150,436
150,465


* Andaikan kadar pulangan unit amanah adalah tetap pada 8% setahun. ini hanyalah ilustrasi sahaja dan tidak menunjukkan prestasi masa dahulu atau hadapan mana-mana dana unit amanah.


No comments:

Post a Comment