Wednesday 30 March 2016

Aset yang paling bernilai

Entri 15
Teks: Mohd Azhar Awang
 
Di keheningan malam ini aku teringat sangat akan ibu dan ayah yang telah tiada. Ayah telah lama meninggalkan kami, hampir 39 tahun yang lalu yang mana ketika aku baru belajar mengenal dunia dan masih terlalu galak sebagai seorang kanak-kanak yang baru menginjak peringkat awal persekolahan sekolah rendah. Pada hari peninggalan ayah, teringat aku yang biasanya berjalan kaki lebih dua batu pulang ke rumah tapi pada hari itu cikgu menawarkan naik motorsikalnya untuk di hantar kerumahku. Sampai di rumah aku lihat ramai orang di rumahku. Rupa-rupanya cikgu telah mengetahui akan pemergian ayahku tapi tidak sampai hati untuk memberitahu terus kepadaku. Ayah terlalu baik orangnya dan tidak pernah langsung berkasar dengan kami anak-anaknya. Pemergian ayah terlalu cepat ku rasa tanpa sempat aku terus bermanja dengannya.
 
Ibu pula meninggalkan kami lebih setahun yang lalu. Alhamdulillah, kami semua adik beradik sempat bersama-sama ibu yang dipinjamkan kepada kami buat tempoh yang jauh lebih lama berbanding ayah sehingga kami sendiri telah bergelar ibu dan ayah dan faham bagaimana ayah dan ibu kami melayan kerenah anak-anak mereka. Biarpun kami adik-beradik melalui sedikit kegetiran dalam menempuh zaman pembesaran kami, namun kami faham bahawa ibu telah berusaha sedaya-upaya beliau untuk menjaga dan bersama-sama dengan kami semua.
 
Kepada yang masih mempunyai ibu-bapa, jagalah ibu bapa sebaik mungkin. Sebelum pergi bekerja, ciumlah tangan mereka. Alangkah beruntungnya mereka yang tinggal sebumbung dengan mak dan ayah mereka. Kalau berjauhan luangkanlah selalu masa untuk melawat mereka.
 
Doakan mereka malah sedekahkah pahala dari amalan-amalan baik kita seperti mengaji Al-Quran, berzikir dan sedekah. Tidak akan berkurangan rezeki kita malah Allah tambahkan lagi rezeki serta nikmat buat anak-anak yang taat.
 
Bagi yang telah tiada, jangan lupa doakan mak ayah setiap kali solat, sedekahkan Al fatihah dan apa sahaja surah yang kita baca, pohon keampunan untuk mereka dan doakan agar mereka ditempatkan dalam golongan yg diredhai Allah. Jangan kedekut untuk luangkan masa mengaji Al-Quran dan sedekahkan pahala untuk mereka kerana apa lagi yang ada pada mereka selain dari doa-doa anak yang soleh.
 
Saya percaya sahabat-sahabat saya pun sangat kasihkan ibu dan ayah dan boleh melakukannya.
 
Boleh ke boleh?

Monday 28 March 2016

Kuasa Pulangan Berganda


Entri 14
Teks: Mohd Azhar Awang

Albert Einstein setahu saya bijak pasal formula-formula sains. Rupanya ada jugak dia ulas pasal kewangan. Kata Einstein, "Compound interest is the 8th wonder of the world". Faedah atau pulangan berganda adalah keajaiban dunia ke lapan. Betulkah apa yang Einstein bagi tahu ini? Ok, cuba kita tengok.

Katakan kita berhajat membuat simpanan bulan-bulan sebanyak RM200 sebulan. Berdasarkan kadar pulangan tahunan yang berbeza 3%, 6%, 8% dan 10%, saya akan tunjukkan jumlah simpanan jika menyimpan selama 5, 10, 15, 20 dan 30 tahun dalam jadual di bawah.
 
 
Simpanan RM200 sebulan
Tahun
Jumlah Modal
3%
6%
8%
10%
5
12,000
12,948
13,965
14,683
15,434
10
24,000
27,958
32,653
36,257
40,292
15
36,000
45,359
57,662
67,956
80,324
20
48,000
65,532
91,129
114,532
114,797
30
72,000
116,028
195,851
283,523
415,859

8% - 10% ~ Saham Amanah (Unit Trust) sebagai contoh di Public Mutual.

Hendak mudah faham apa yang Einstein cakap, kalau tengok jadual diatas, semakin lama kita menyimpan, jumlah  terkumpul tu meningkat naik berkali-kali ganda disebabkan kuasa pulangan berganda.

Contoh, jika kita menyimpan RM200 sebulan hanya selama 5 tahun dengan kadar pulangan 10%, simpanan kita menjadi lebih kurang RM15 ribu, tapi cuba simpan selama 30 tahun iaitu 6 kali ganda lebih lama, simpanan kita bukan hanya bertambah menjadi RM90 ribu (6 kali ganda dari RM15 ribu) tetapi RM415 ribu. Wow, memang power kuasa pulangan berganda ini.

Itu baru RM200 sebulan. Kalau lebih lagi?

Kesimpulan dari jadual di atas ada dua iaitu:-

1) Kita perlu bermula awal untuk menyimpan untuk mendapat kuasa pulangan berganda lebih lama. Kalau belum mula, elok mula sekarang.

2) Untuk duit kita berganda lebih cepat, kena menyimpan di tempat yang boleh bagi potensi pulangan lebih tinggi seperti di saham amanah.

Saturday 26 March 2016

Hendak gandakan simpanan sekali ganda lebih cepat?

Entri 13
Teks: Mohd Azhar Awang

Salam hormat.

Ramai yang tanya saya nak tahu macam mana simpanan kita boleh jadi sekali ganda lebih cepat.


Rahsianya adalah hukum 72, seperti dibawah:

Tahun diperlukan untuk menggandakan simpanan anda = 72 / Pulangan dari simpanan anda


Untuk mudah faham;

1. Katakan Ahmad menyimpan RM50,000 di akaun simpanan biasa di bank dengan pulangan setahun 2%. Maka masa diperlukan untuk duit Ahmad jadi sekali ganda iaitu RM100,000 adalah 36 tahun iaitu 72/2.

2. Mutu menyimpan RM50,000 beliau di akaun simpanan tetap dengan pulangan setahun 3.6%, jadi duit Mutu bertambah jadi RM100,000 dalam masa 72/3.6 iaitu 20 tahun.

3. Yusuf menyimpan RM50,000 beliau di saham amanah (unit trust) dengan pulangan setahun 12%. Duit Yusuf bertambah jadi RM100,000 dalam masa 72/12 iaitu 6 tahun.

Jadi dalam contoh diatas, duit Yusuf bertambah sekali ganda lebih cepat berbanding Mutu dan juga Ahmad.

Teknik menggandakan wang penting jika ingin mengumpul kekayaan. Jadi kita perlulah bijak untuk menyimpan agar mendapat gandaan pulangan secepat mungkin….Tiada gunanya ia sampai pada sasaran tetapi kita pula sudah tua.

Tapi saya nak pesan sekali lagi, awas dengan skim cepat kaya!!!

Tapi bukanlah saya bermaksud kita perlu menyimpan semua duit kita di saham amanah. Macam yang pernah saya tekankan dulu, diversify tu penting.

Setiap simpanan di atas ada risiko dia masing-masing. Mungkin tuan/puan terfikir...hai letak di akaun simpanan biasa bank pun ada risiko jugak? Duit tu selamatkan? Tapi ada risiko dia.

Berminat nak tahu apa risiko dia? Tunggu penulisan saya seterusnya.

Thursday 24 March 2016

Menyesal tidak pernah datang dulu...

Entri 12
Teks: Mohd Azhar Awang

Dalam penulisan yang dulu, saya pernah cerita pasal simpanan hingga jadi RM1 juta.

Nampak macam hype kan? Sebenarnya tak hype mana pun. Menurut suratkhabar Kosmo 9 Januari 2015, kena ada RM2 juta baru boleh bersara. Kaji selidik oleh syarikat insurans AIA Berhad.

Tapi sebenarnya ramai di antara kita kesedaran untuk menyimpan ni datang, selepas “terhantuk”. Kiranya macam pepatah, “sudah terhantuk, baru terngadah”.

Teringat saya masa saya duduk kat asrama awal tahun 80an dulu...pengetua asrama saya selalu cakap "menyesal tak pernah datang dulu". Maksud beliau, orang tak pernah fikir pasal tindakan yang dilakukannya/tidak dilakukannya (action/inaction) sehingga akhirnya dia menyesal akibat tindakan /tiada tindakan oleh pihaknya tersebut.

Ok supaya kita tidak menyesal di kemudian hari,  biarlah kita ada target untuk menyimpan. Banyak benda boleh buat dengan ada simpanan.

Dan target saya untuk kita semua capai adalah simpanan RM1 juta jer dulu.  Macam saya cakap, bukan hype mana pun. Kalau orang lain boleh capai kenapa kita tak boleh capai. 

Tapi macam tu lah...kena ada action. Kalau dah capai, Kita boleh cuba capai peringkat seterusnya.

Penulisan saya selepas ni, saya nak bagi satu rahsia macam mana simpanan kita jadi sekali ganda lebih cepat. Maksudnya dari RM10 ribu nak jadi RM20 ribu. Dari RM250 ribu jadi RM500 ribu.

Bukan money game dan bukan juga semua skim cepat kaya yang tersontot tu.

Rahsia ni sebenarnya rahsia umum. Ianya suatu yang universal, tapi tak ramai orang kita yang tahu.

Ok, nantikan penulisan saya selepas ni....

Wednesday 23 March 2016

"Hafal formula ni betul-betul"


Entri 11
Teks : Mohd Azhar Awang

Anda mungkin tidak sabar untuk tahu tentang rahsia bercuti setahun, tanpa kerja, tanpa niaga? Ini teknik yang dah ramai yang buat. Jadi teknik ini, In Sha Allah berkesan untuk anda juga. Hendak cuti setahun? 2 tahun? 3 tahun? Sampai bila-bila? BOLEH.............. !

Kalau anda bekerja pun, ianya adalah disebabkan anda memilih untuk bekerja, bukan sebab terpaksa seperti sekarang ini.
 
Pertama sekali, saya hendak minta maaf awal-awal kerana penulisan kali ini agak berat sedikit. Khususnya, kalau anda pertama kali dengar akan konsep ini. Tetapi pada masa yang sama, kaedahnya sangat simple sampai anda akan terfikir, kalau senang macam itu semua orang boleh buat!

Ok. Hafal formula ini betul-betul.

================================================
Passive income - Perbelanjaan = Baki Positif
================================================

Saya akan jelaskan satu per satu. Passive income = Pendapatan yang anda dapat, tanpa perlu buat apa-apa. Contohnya, dividen Tabung Haji. Tahu-tahu sahaja, selepas setahun simpanan anda bertambah sebanyak RM1000.
 
Duit RM1000 tu, adalah passive income anda.
 
Perbelanjaan = apa sahaja yang anda belanja sekarang ni. Kalau bulanan, belanja rumah + hutang bulanan + bil + lain-lain ialah RM1000, maka, itulah perbelanjaan anda.

MAKA !
Passive income - Perbelanjaan, kalau positif, maka anda sudah boleh bercuti pada bila-bila masa.
Sudah pastinya, kalau anda pergi bercuti, perbelanjaan anda akan ada perubahan, jadi kirakan jugalah berapa perbelanjaan anda tersebut.

Ok. Mudahkan? Ya, konsepnya sangat mudah. Tapi, ianya perlukan kesabaran dan komitmen.
 
Jadi, apakah strateginya? Ada 2 bahagian kita kena tengok.
1. Perbelanjaan
2. Passive income

=============
PERBELANJAAN
=============
 
1. Kira berapa perbelanjaan sebulan sekarang ini.
2. Kira juga komitmen bulanan seperti hutang, bil dan lain-lain
3. Dah dapat, tulis besar-besar atas kertas, dan tampal kat dinding.
4. Itu jumlah passive income yang anda kena capai, supaya anda boleh capai Financial Freedom.
 
 
 
===============
PASSIVE INCOME
===============
 
1. Cari satu pelaburan yang boleh berikan pulangan melebihi 5% setahun.
2. Tak susah, ada banyak. Kalau siapa yang pernah menelefon saya, saya senaraikan banyak instrument pelaburan yang dapat bagi pulangan melebihi 5% setahun.
3. Asas pelaburan ialah, 'Lagi banyak kita melabur, lagi tinggi pulangan kita" Contohnya, antara modal RM1000 dengan RM1500, maka, modal RM1500 akan memberikan pulangan yang lebih tinggi.
4. Jadi, cara supaya kita mempunyai lebih banyak modal, ada 2 cara
  • tambah pendapatan, kerja sampingan, berniaga dan lain-lain.
  • kurangkan perbelanjaan.
5. Oh ya. Jangan terperangkap dengan skim cepat kaya ya.
6. Diversify
  • Maksudnya, jangan semua duit anda letak di satu pelaburan sahaja.
  • Pelbagaikan.
  • Saya cadangkan potfolio pelaburan anda mempunyai beberapa jenis pelaburan berdasarkan risiko.
  • Ya, setiap pelaburan mempunyai risiko masing-masing.
  • Risiko rendah seperti simpanan tabung haji.
  • Risiko sederhana seperti Unit Trust dan hartanah.
  • Risiko tinggi seperti saham dan perniagaan.
7. Sebelum melabur, cari ilmu dulu. Ramai yang kerugian kerana mendapat informasi yang salah mengenai sesuatu pelaburan itu. Cari guru yang dapat membimbing anda untuk satu-satu pelaburan.
 
Baiklah itu sahaja dahulu untuk penulisan kali ini.Agak panjang penulisan ini, mudah-mudahan ianya bermanfaat buat anda. Terima kasih.
 

Tuesday 22 March 2016

Soalan ni akan buat anda lebih cepat kaya!

Entri 10
Teks: Mohd Azhar Awang

Dalam penulisan kali ini, saya ingin bertanyakan anda satu soalan.
 
"Apa akan jadi, kalau anda bercuti daripada bekerja/berniaga untuk tempoh 1 tahun?"

Cuba fikirkan....
1 saat
2 saat
3 saat
4 saat
5 saat

Apa?
Macam mana nak hidup?
Macam mana nak makan?
Siapa nak bayar duit rumah?
Siapa nak bayar duit kereta?
Siapa nak bayar hutang-hutang?

Mungkin anda akan terfikir, "Sebab tu saya hendak kaya raya, tidak perlu fikir semua benda ni"

Akan tetapi, maaf kalau penyataan saya ni, terlalu menyentap hati anda. Hakikatnya, kayalah macam mana pun, kalau kita tidak faham satu benda ini, kita tetap akan terperangkap dalam dunia bekerja sampai mati.

Nak tahu penyelesaiannya, supaya walaupun anda tidak bekerja/berniaga selama setahun atau lebih, anda tetap boleh hidup selesa, gembira dan bahagia?

Saya akan sambung dalam penulisan yang akan datang. Jumpa lagi.

Monday 21 March 2016

Sikit-sikit lama-lama jadi bukit

Entri 9
Teks : Mohd Azhar Awang
 
Salam hormat.
Ok seperti dijanjikan dalam penulisan saya sebelum ini, saya kongsikan kepada anda kali ini jadual jumlah simpanan vs tempoh simpanan, supaya simpanan anda menjadi RM1 juta.
 
Katakan anda simpan di tempat yang memberi pulangan 10% setahun. (contohnya unit trust, perniagaan dan koperasi).
  • Jika anda simpan RM100 sebulan, untuk simpanan melebihi RM1 juta, anda perlu menyimpan selama 46 tahun.
  • Jika anda simpan RM200 sebulan, untuk simpanan melebihi RM1 juta, anda perlu menyimpan selama 39 tahun.
  • Jika anda simpan RM500 sebulan, untuk simpanan melebihi RM1 juta, anda perlu menyimpan selama 30 tahun.
  • Jika anda simpan RM1000 sebulan, untuk simpanan melebihi RM1 juta, anda perlu menyimpan selama 23 tahun.
  • Jika anda simpan RM2000 sebulan, untuk simpanan melebihi RM1 juta, anda perlu menyimpan selama 17 tahun.
  • Jika anda simpan RM5000 sebulan, untuk simpanan melebihi RM1 juta, anda perlu menyimpan selama 10 tahun.
  • Jika anda simpan RM10,000 sebulan, untuk simpanan melebihi RM1 juta, anda perlu menyimpan kurang sikit 7 tahun.
Jadi bagaimana? Teruja bukan? Ya, kali pertama saya tahu perkara ini saya juga amat teruja. Ini untuk sesuatu yang pulangannya 10% setahun seperti unit trust yang mana ianya dalam kategori pulangan yang sederhana.
 
Untuk bermula, anda hanya perlu bermula seawal yang mungkin walaupun dengan menyimpan RM1 sebulan. Ya, RM1 sebulan. Mungkin, anda sangka ia akan mengambil masa beribu tahun untuk simpanan menjadi RM1 juta. Tetapi mengikut pengalaman saya, apabila kita dah mula dengan RM1 sebulan kita telah menyemai tabiat menyimpan. Daripada RM1 sebulan, kita akan simpan RM10 sebulan. Kemudian RM50 sebulan. Kemudian RM100 sebulan. Hinggalah ribuan ringgit sebulan.

Menyimpan bukanlah sesuatu yang mudah. Ia adalah tabiat orang berjaya di seluruh dunia. Ya, di seluruh dunia. Orang yang mempunyai tabiat menyimpan, secara tak langsung juga akan menyemai tabiat cermat, berhati-hati dan bersabar.

Tabiat cermat, akan bantu kita menggunakan satu-satu barangan secara cermat. Apabila kita guna barangan dengan cermat, ia lambat rosak dan apabila lambat rosak kita tidak perlu keluar duit lain hendak beli yang baru.

Tabiat berhati-hati akan bantu kita mengurangkan risiko di tipu. Sebagai contoh, kawan saya pernah ditipu skim cepat kaya puluhan ribu ringgit.
 
Tabiat bersabar, tak perlu ceritalah. Orang tua-tua kita dahulu dah mengajar kita, sikit-sikit lama-lama jadi bukit.
 
Ok, semuga kita bertemu lagi dalam penulisan saya seterusnya. Terima kasih
 

Sunday 20 March 2016

Beli kereta, percuma kereta

Entri 8
Teks: Mohd Azhar Awang

Saya pernah janjikan hendak beri tips beli sebuah kereta, percuma sebuah lagi kereta. Hari ini saya kongsikan tips tersebut melalui penceritaan. Bolehkan?
 
Ok, isunya kita hendak beli kereta Honda Civic berharga RM165,000 dan kita mampu sediakan wang pendahuluan berjumlah RM19,800.
 
Cerita 1
Azlan hendak beli kereta ini.
Azlan bayar wang pendahuluan RM19,800.
Yang lain, dia buat pinjaman dengan bank untuk tempoh 9 tahun.
Katakan Azlan mendapat kadar faedah 4.00% setahun.
Pembayaran bulanan Azlan : RM1829.
Selepas 9 tahun, Azlan akan mempunyai kereta Honda Civic berusia 9 tahun.

Cerita 2
Ahmad hendak beli kereta yang sama.
Ahmad mampu sediakan wang pendahuluan sebanyak RM19,800.
Walau bagaimana pun Ahmad tidak beli kereta tersebut. 
Sebaliknya Ahmad guna duit itu untuk membeli kereta terpakai berharga RM19,800.
Setiap bulan Ahmad menyimpan RM1829 dalam saham amanah (unit trust).
Secara purata, saham amanah tersebut bagi pulangan 10% setahun.
Selepas 9 tahun, duit Ahmad berganda menjadi RM313,951.28
Selepas Ahmad beli kereta idaman beliau iaitu Honda Civic yang berharga RM165,000, Ahmad masih ada duit sebanyak RM148,951.28

Selepas 9 tahun, Ahmad mempunyai
1. sebuah kereta terpakai
2. sebuah Honda Civic baru
3. simpanan berjumlah RM148,951.28

Soalan saya, anda pilih hendak jadi macam Azlan atau macam Ahmad?
 
Dalam penulisan saya selepas ini dalam tips urus kewangan, saya akan kongsikan kepada anda sebuah jadual. Jadual tersebut menunjukkan berapa jumlah simpanan dan tempohnya untuk anda menjadi jutawan! Ya, dengan hanya menyimpan sahaja.

Ok lah, kita jumpa lagi nanti. Terima kasih.
 

Saturday 19 March 2016

Ilmu...semakin dikongsi semakin bertambah

Entri 7
Teks: Mohd Azhar Awang
Foto: Mohd Azhar Awang
 
Alhamdulillah selesai perkongsian topik 'Selling through free insurance coverage' di dalam Agency Meeting, Public Mutual Kota Bharu semalam.
 
 
Sebelum bermula Agency Meeting, kami semua Enproprians melakukan 'energizer' dalam bentuk gerakbadan tertentu sebagai 'morning exercise' untuk mengembalikan tenaga semua peserta yang hadir dan juga untuk menghangatkan suasana untuk sesi mesyuarat yang lebih hidup dan rancak.  
 

Friday 18 March 2016

Fokus...fokus...fokus...

Entri 6
Teks: Mohd Azhar Awang

Keupayaan manusia adalah terbatas. Manusia tidak mampu untuk melakukan sesuatu yang banyak secara serentak. Jika terlalu banyak perkara hendak dilakukan dalam masa serentak, fikiran manusia akan bercabang. Dalam kebingungan, satu perkara pun tidak akan selesai. Lebih teruk lagi, dalam kebingungan tidak tahu mana satu yang mahu dimulakan dahulu, tiada komitmen terhasil dan akhirnya tiada satu perkara pun yang dimulakan. Janganlah kita beranggapan dengan melakukan banyak perkara dalam satu masa, maka kita akan mendapat kejayaan dalam semua perkara tersebut. Apa yang berlaku, kita akan mendapat kegagalan dalam semua perkara tersebut.
 
Kita boleh mempunyai rancangan untuk melakukan banyak perkara tetapi kita perlu melakukannya satu persatu. Kita perlu memilih yang mana lebih penting dahulu dan kemudian barulah kita melakukan perkara-perkara yang lain pula. Dalam ertikata lain, kita perlu fokus akan apa yang kita lakukan. Jika kita cuba membuat sesuatu perkara serentak, kita tidak akan kemana-mana. Seorang nakhoda kapal yang tidak mempunyai pendirian tetap akan arah yang ingin ditujunya akan menghadapi masalah. Contohnya, jika pada awalnya dia memilih untuk menuju ke utara dan kemudian di pertengahan jalan dia menukar haluan menuju ke selatan dan seterusnya berubah hati ingin ke utara semula, akhirnya dia tidak akan kemana-mana yang mana minyak kapal pun mungkin akan habis di tengah lautan. Begitu juga manusia yang cuba melakukan terlalu banyak perkara serentak, keupayaannya dari segi mental dan fizikal akan habis dipertengahan jalan tanpa menyiapkan walau satu pun perkara.
 
Berbalik kepada konteks nakhoda tadi, jika mengikut keutamaan menuju ke utara lebih penting, maka dia perlu terus menuju ke utara dahulu tanpa berfikir banyak cabang. Ianya akan menjadi sesuatu yang positif pula untuk nakhoda tersebut yang mana dia boleh mendapat pengalaman dan pengetahuan hasil dari perjalanan ke utara tersebut yang boleh digunakannya dalam perjalanan ke selatan pula.
 
Sifat ketamakkan yang ada pada manusia membuatkan mereka hendakkan yang banyak serentak. Kalau boleh kejayaan yang banyak dan besar pula dalam masa yang singkat. Mereka yang mempunyai sikap begini akan gagal, sesuai dengan pepatah "Yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran". Mereka juga tidak akan mempunyai kepakaran yang tinggi dalam bidang mereka. Akibat menceburi banyak perkara dalam satu masa, kepakaran mereka adalah biasa-biasa sahaja dan tidak menjadi pilihan untuk menjadi tempat rujukan apatah lagi untuk dihadiahkan projek yang besar khusus untuk bidang tertentu. Ada satu pepatah Bahasa Inggeris yang berbunyi, "Jack of all trades, master of none". Akhir kata, In Sha Allah kejayaan menanti kepada sesiapa yang fokus dalam perkara yang mereka lakukan.
 

Thursday 17 March 2016

Saya pernah membuat kesilapan

Entri 5
Teks: Mohd Azhar Awang
 
Saya ingin membuat satu pengakuan di sini bahawa saya pernah melakukan suatu kesilapan. Tuan/puan mungkin tertanya-tanya, kesilapan apakah yang ingin saya utarakan? Adakah saya pernah melanggar undang-undang?
 
Tidak, tidak, tidak.
 
Kesilapan yang saya lakukan ialah saya pernah cuba membuat terlalu banyak perkara dalam satu-satu masa. Sekejap, bukankah ianya sesuatu yang positif untuk membuat banyak perkara dalam satu-satu masa? Bukankah banyak perkara yang boleh kita capai serentak? Berdasarkan pengalaman saya, jawapan untuk setiap soalan diatas adalah TIDAK sama sekali.
 
Ok, saya ceritakan sedikit pengalaman saya tentang perkara ini. Saya terlibat sebagai Perunding Unit Amanah Public Mutual secara sepenuh masa bermula pada November 2014. Pada bulan April 2015, saya diperkenalkan kepada suatu bisnes menjual penapis air dan saya menjadi agen kepada syarikat penapis air tersebut. Sememangnya bisnes menjual penapis air ini adalah suatu bisnes yang bagus berdasarkan kekuatan syarikat itu, jumlah komisen yang diberi dan maklumbalas yang baik diterima daripada pelanggan berkenaan penapis air ini. Tuan/puan mungkin tertanya-tanya, jadi dimanakah silapnya?
 
Kesilapannya adalah dalam kedua-dua bisnes tersebut, saya tidak mencapai apa-apa yang boleh dibanggakan. Saya tidak kemana-mana didalam kedua-dua bisnes tersebut. 'Neither here, nor there', orang putih kata. Apabila berjumpa pelanggan baru atau prospek agen, saya menjadi bingung samada ingin bercakap tentang Public Mutual atau tentang penapis air tersebut. Saya kemudiannya menyedari bahawa saya tidak mampu untuk mengejar terlalu banyak kejayaan serentak. Berdasarkan kepakaran saya yang pernah bekerja disektor kewangan selama hampir dua puluh tahun, saya sepatutnya boleh lebih berjaya dan terus maju kehadapan hanya dengan fokus sebagai seorang Perunding Unit Amanah.
 
Selepas beberapa bulan menjalankan dua bisnes serentak, saya kemudiannya mengambil keputusan untuk fokus dalam karier saya sebagai seorang Perunding Unit Amanah. Bertitik-tolak dari situ, dalam masa yang singkat bilangan peserta dalam agensi saya meningkat berlipat kali ganda manakala saya lebih nampak dimana kedudukan saya sedikit masa lagi. Pelanggan juga lebih yakin dengan saya untuk menjadi agen mereka. Pernah pada satu ketika seorang pelanggan membuat pengeluaran sebanyak RM244 ribu sekaligus dari simpanan KWSP beliau dan menyimpan di Public Mutual hanya kerana saya seorang Perunding Unit Amanah sepenuh masa. Beliau yakin bahawa dengan kerjaya sepenuh masa saya sebagai Perunding Unit Amanah ini, saya mampu untuk menjaga akaun beliau dengan baik.  
 
Dalam penulisan saya yang berikutnya, akan saya ceritakan secara lebih terperinci tentang pentingnya kita fokus dalam perkara yang kita lakukan. Sekian dahulu untuk penulisan kali ini.
 

Wednesday 16 March 2016

Bermulanya cabaran menguji kekentalan diri

Entri 4
Teks: Mohd Azhar Awang
 
Semalam berakhirnya dua hari program En Pro (Enhanced Productivity) Orientation anjuran Public Mutual Kota Bharu. Namun ianya hanyalah permulaan untuk suatu program yang akan berlangsung selama 10 minggu yang betul-betul akan menguji kekentalan diri peserta untuk maju dalam karier sebagai seorang salesman* atau secara spefisiknya Perunding Unit Amanah dibawah Public Mutual ini. Apa tidaknya, prestasi peserta akan dinilai dari masa ke masa dengan 150 mata perlu dicapai setiap minggu tanpa gagal sehingga ke majlis graduasi pada penghujung bulan Mei 2016.
 
*Sebenarnya pada saya karier kami sebagai Perunding Unit Amanah bukanlah seorang salesman sebab pada saya kami tidak menjual apa-apa tetapi hanya menasihati orang ramai untuk menyimpan dan simpanan itu pula akan mendapat pulangan yang lebih tinggi berbanding tempat lain berdasarkan rekod prestasi yang lepas, In Sha Allah.
 
Secara kasarnya, aktiviti peserta perlu padat setiap hari dengan secara puratanya peserta perlu mendapatkan 30 mata sehari.  Sebagai contoh, setiap satu panggilan dibuat kepada prospek / pelanggan sedia ada akan mendapat satu mata, setiap 'direct approach' kepada prospek yang kita tidak kenal akan mendapat dua mata, setiap 'sales closed' akan mendapat 3 mata dan sebagainya. Peserta akan didedahkan dengan berbagai-bagai teknik jualan, mendengar perkongsian dari agensi-agensi lain yang terkemuka dari berbagai aspek dan sepanjang program ini berlansung perlu menunjukkan disiplin dalam tahap tertinggi. Dengan aktiviti-aktiviti yang padat yang dilakukan, peserta yang berjaya akan mendapat peningkatan prestasi yang jauh melebihi hari-hari biasa beliau dan terus maju ke hadapan dalam karier mereka, In Sha Allah. Peserta yang gagal pula pula akan tersungkur di pertengahan jalan dalam program En Pro ini dan mungkin akan terus mendapat prestasi biasa-biasa dalam karier mereka.
 
Program ini bukan sahaja dibuka untuk Perunding-perunding Unit Amanah yang baru malah kepada Perunding-perunding Unit Amanah yang telah lama berkecimpung dan telah mempunyai pangkat yang tinggi sebagai Perunding Unit Amanah dalam Public Mutual ini supaya mereka juga boleh maju keperingkat seterusnya. Saya sekali lagi dipilih sebagai Presiden untuk Program En Pro ini dan sebagai presiden, saya akan memastikan program ini mencapai matlamatnya bukan sahaja kepada peserta-peserta program malah ianya menjadi satu perjuangan untuk kami meningkatkan lagi kesedaran menyimpan di kalangan orang ramai, In Sha Allah.
 

Tuesday 15 March 2016

Kalau masa boleh patah balik

Entri 3
Teks: Mohd Azhar Awang
 
Dalam penulisan saya sebelum ini, saya telah kongsikan berkenaan sebilangan pekerja di negara kita yang diberhentikan kerja akibat pengecilan operasi syarikat. Kita tidak mahu membincangkan isu itu lagi dalam penulisan kali ini tetapi saya hendak kongsikan keluhan rakan saya sendiri yang terlibat.
 
"Kan bagus kalau aku bersedia awal-awal"
"Kenapalah dulu aku kurang menyimpan"
"Habislah aku, macam mana aku nak bayar komitmen bulanan?"

"Kalau masa boleh patah balik"
 
Ya, kalau masa boleh patah balik sudah tentu rakan saya tersebut lebih bersedia untuk menghadapi keadaan diberhentikan kerja tersebut. Jika masa boleh patah balik, saya ingin kongsikan apa yang sepatutnya rakan saya tersebut lakukan:-
 
1. Kurangkan perbelanjaan satu tahap daripada kemampuan.
(Maksudnya kalau dulu beliau mampu membeli kereta BMW 5 siri, sepatutnya biar beli kereta BMW yang 3 siri sahaja)

2. Simpan dahulu sebelum berbelanja.

3. Kembangkan wang yang sedia ada dengan pelaburan.

4. Jangan mengharap satu sumber pendapatan sahaja walaupun ianya  sangat stabil.

5. Penuhkan tabung kecemasan (sila rujuk penulisan saya sebelum ini)

Baiklah itu sahaja untuk penulisan kali ini. Ingin saya tegaskan, "Kita berjimat, bukan kerana kita miskin tetapi kerana kita hendak menjadi lebih kaya".

Sila nantikan tips urus kewangan seterusnya dari saya (sila klik label Tips urus kewangan), akan saya kongsikan tips bagaimana kita membeli sebuah kereta dan dapat percuma sebuah lagi kereta. Bukan gimik, tetapi suatu realiti yang boleh kita lakukan.
 

Monday 14 March 2016

Tabung kecemasan

Entri 2
Teks: Mohd Azhar Awang
 
Isu semasa : Diberhentikan kerja beramai-ramai?
1. kepada yang terlibat, takziah saya ucapkan

2. nasihat saya, cepat-cepat cari kerja,
dan cepat-cepat buat bisnes

3. Pn. Ainon (PTS Publication), pernah berpesan,
nak mula bisnes, modal jangan lebih RM2000

4. Bagi yang tak terlibat atau belum terlibat

5. Sediakan tabung kecemasan secepat yang boleh

6. Ini pilihan tabung kecemasan,
bergantung bagaimana anda sanggup beri komitmen
-- simpanan 6 bulan perbelanjaan*
-- simpanan 12 bulan perbelanjaan
-- simpanan 24 bulan perbelanjaan
-- simpanan 7 tahun perbelanjaan
*Nota : saya guna perbelanjaan ya, bukan gaji

7. Itu tabung kecemasan ya, tabung pelaburan dan
lain2 tabung, buat lain

8. Mungkin ada persoalkan,
"kalau duit habis menyimpan je, macam mana nak menikmati hidup?"

9. Belanja yang perlu.
Ini senarai perbelanjaan perlu bagi kebanyakan orang :-
-- rawatan dan perubatan,
ambil medical kad/takaful seawal yang mungkin, sekurang-kurangnya oleh 'bread winner'

-- kenderaan. Cukup sekadar yang boleh
bawa daripada point A ke point B dengan selamat

-- tempat tinggal. Cukup sekadar yang
boleh jadi tempat berlindung yang selesa dan selamat

-- pakaian. Tidak perlu beli pakaian baru setiap bulan

10. Melainkan simpanan anda melebihi 7 tahun gaji,
maka anda bukan orang kaya.

11. Jadi, stop hidup macam orang kaya,
perasan macam orang kaya

12. Sorry, ia adalah hakikat hidup zaman sekarang ni !


Minta maaf kalau artikel ni, 'sentap' sikit.
Tapi, niat saya satu je, saya tak nak tengok lagi,
bangsa dan agama saya dilayan macam kucing kurap
 

Sunday 13 March 2016

Salam perkenalan

Entri 1
Teks: Mohd Azhar Awang
Foto: Mohd Azhar Awang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam Perkenalan

Alhamdulillah dengan izin Allah swt dapat jua saya mewujudkan blog Panduan Perancangan Kewangan ini. Semuga ianya menjadi wadah untuk saya berkongsi ilmu-ilmu dan pengalaman tentang perancangan kewangan kepada anda semua. Berbekalkan pengalaman bekerja di bidang perbankan selama hampir dua puluh tahun tahun serta dengan pelbagai kursus-kursus kewangan yang saya sertai dan pembacaan yang meluas tentang aspek-aspek kewangan, saya akan cuba untuk menjadikan blog ini sebagai salah satu rujukan dari segi perancangan kewangan, In Sha Allah.
 
Sebelum saya melangkah lebih jauh, suka untuk saya memperkenalkan diri saya sebagai Mohd Azhar Awang. Saya dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan pada 29 Disember 1969, betul-betul diambang dekad tujuh puluhan. Ini bermakna sudah lebih empat puluh enam tahun saya diberikan peluang untuk menghela nafas di bumi Allah ini. Alhamdulillah, syukur di atas segala limpahan nikmat yang dikurniakan olehNya.
 
Ayah saya merupakan seorang ahli bomba manakala ibu merupakan seorang suri rumah sepenuh masa. Apabila ayah pencen ketika saya berumur lapan tahun, ayah telah membuka sebuah ladang getah yang kecil di Sungai Tong, Terengganu. Namun setengah tahun kemudiannya ayah telah terlebih dahulu dijemput mengadap Ilahi. Maka bermulalah jerih payah kehidupan tanpa seorang ayah tambahan pula kami sememangnya orang susah tanpa sebarang harta kecuali sedikit duit pencen arwah ayah. Selepas peninggalan arwah ayah, melihatkan kesusahan kami, saya dijemput oleh adik beradik berlainan ibu yang lebih dewasa untuk tinggal bersama mereka. Pada ketika darjah lima saya tinggal bersama abang saya yang merupakan seorang peneroka di Gugusan Jengka, Pahang.
 
Akan tetapi, memandangkan mereka juga bukan orang senang, maka saya amat bersyukur apabila diterima masuk ke sebuah asrama milik Felda iaitu Asrama Semai Bakti Felda, Kuala Lumpur  untuk melanjutkan pelajaran peringkat menengah yang mana pengajian saya di tanggung oleh Felda dan juga saya menerima sedikit Biasiswa kecil Persekutuan untuk wang saku.  Di Asrama Semai Bakti Felda, kami semua ditempatkan di sekolah-sekolah terbaik di ibukota dimana saya ditempatkan di Sekolah Menengah Lelaki Methodist, Kuala Lumpur sehingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia. Saya kemudiannya melanjutkan pelajaran di Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya dan kemudiannya melangkah ke Fakulti Sains, Universiti Malaya yang mana saya membuat pengkhususan di bidang matematik.
 
Selepas tamat pengajian, saya kemudiannya bekerja sebagai Eksekutif Minyak Pelincir (Lubricant Executive) dengan sebuah syarikat minyak terkemuka di ibukota negara. Memandangkan syarikat minyak tersebut tidak mempunyai cawangan-cawangan serantau yang meluas sedangkan saya sangat berkeinginan bekerja di luar Kuala Lumpur dan keluar dari kesibukkan kota metropolitan, saya kemudiannya memohon pekerjaan di berbagai institusi perbankan. Pada tahun 1996, permohonan saya terjawab apabila saya kemudiannya diterima bekerja sebagai Pegawai Kredit oleh Ban Hin Lee Bank Berhad, sebuah bank yang beribupejabat di Pulau Pinang. Ban Hin Lee Bank mempunyai saiz yang agak kecil berbanding dengan bank-bank lain yang lebih besar akan tetapi sentiasa mengekalkan rekod yang baik dari segi perkembangan pasaran, perhubungan yang baik dengan pelanggan dan amat menitikberat akan kebajikan kakitangannya. Saya ditempatkan di ibu negeri kelahiran saya iaitu Kota Bharu, Kelantan.
 
Pada tahun 1996 itulah bermula episod saya bekerja di sektor perbankan dengan berbagai bank utama di tanahair sehingga hampir dua puluh tahun lamanya dan menimba pelbagai pengalaman dalam hal-hal kewangan. Pada tahun 2000 saya kemudiannya bekerja dengan Southern Bank Berhad berikutan pergabungan dengan Ban Hin Lee Bank Berhad, pada tahun 2003 saya berhijrah ke RHB Bank Berhad mengejar karier yang lebih baik dan pada tahun 2007 saya berhijrah sekali lagi, kali ini ke Cimb Bank Berhad. Sepanjang karier, saya pernah juga ditempatkan di cawangan luar Kelantan. Dalam karier perbankan saya, pendedahan terbesar saya adalah dalam bidang perbankan komersial (commercial banking) walaupun saya juga mempunyai pendedahan dalam bidang perbankan pengguna/peribadi (consumer/personal banking).
 
Masa yang terhad bersama keluarga beserta keinginan untuk lebih meluangkan masa untuk menuntut ilmu buat bekalan ke alam abadi  membuatkan saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan pada bulan Ogos 2014 dan seterusnya bekerja sendiri bermula pada bulan November 2014. Tidak seperti mana kakitangan yang lain yang meletakkan jawatan setelah mendapat pampasan, saya meletakkan jawatan dengan notis biasa tiga bulan. Sebenarnya dengan gaji yang saya terima ketika itu tanpa meletakkan jawatan dan tambahan pula tinggal di Kota Bharu yang mana kos sara hidup boleh dikira masih rendah berbanding dengan tempat-tempat lain, saya mampu untuk hidup selesa tapi saya menyedari bukan itu yang saya mahu. Kerjaya yang saya pilih untuk bekerja sendiri ini adalah sebagai Perunding Unit Amanah di bawah Public Mutual Berhad, sebuah anak syarikat milik penuh Public Bank Berhad. Walaupun tanpa gaji asas, berkat usaha dan keazaman, saya yakin saya mampu untuk membina kehidupan dengan ganjaran yang jauh lebih baik berbanding dengan apa yang saya terima semasa bekerja makan gaji dahulu, In Sha Allah dan apa yang lebih penting adalah fleksibiliti masa yang saya dapat kini.
 
Saya menamatkan zaman bujang saya pada tahun 2000 dan mempunyai keluarga yang bahagia dengan kini mempunyai empat orang cahayamata iaitu yang pertama dan kedua adalah anak lelaki dan ketiga dan keempat adalah anak perempuan. Alhamdulillah, dengan rezeki Allah swt, saya dikurniakan isteri dan anak-anak yang baik. Isteri saya sekarang masih bekerja makan gaji yang mana beliau bekerja dengan Amanah Ikhtiar Malaysia, sebuah agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk memberi pinjaman mikro kredit kepada usahawan-usahawan kecil. Untuk anak-anak, memang rancangan saya untuk menempatkan mereka di sekolah-sekolah agama supaya mereka bukan sahaja mendapat pendidikan dunia tetapi pendidikan agama juga. Alhamdulillah anak-anak lelaki saya sekarang bersekolah menengah di Maahad Muhammadi Lelaki, Kota Bharu yang merupakan salah sebuah sekolah agama terpilih di Kota Bharu. Saya berharap anak-anak perempuan saya juga dapat mengikut jejak langkah abang-abang mereka nanti.
 
Saya berharap untuk terus melangkah kehadapan dalam kerjaya saya sebagai Perunding Unit Amanah Public Mutual ini. Disamping pemasaran secara offline yang biasa saya lakukan, pemasaran melalui emel menggunakan autoresponder yang telah saya usahakan sedikit sebanyak, pemasaran melalui LinkedIn dan pemasaran melalui Facebook peribadi, saya merasa amat bertuah diperkenalkan dengan Pn Anys Idayu Zakaria dan Pn Masayu Ahmad untuk memperkembangkan saluran pemasaran melalui blog pula. Semuga ianya menjadi titik tolak untuk saya terus bersinar dalam kerjaya baru saya ini, In Sha Allah.