Saturday 16 April 2016

Skim Persaraan Swasta (PRS, Private Retirement Scheme)

Entri 24
Teks: Mohd Azhar Awang
 
Masih ramai rakyat Malaysia kita yang tidak tahu berkenaan Skim Persaraan Swasta (PRS, Private Retirement Scheme). PRS adalah satu skim caruman sukarela jangka panjang yang dilancarkan oleh kerajaan untuk membantu individu membuat simpanan bagi persaraan mereka.

Memandangkan wang PRS tidak boleh dikeluarkan sehingga umur 55 tahun (kecuali 30% dari jumlah simpanan yang mana penalti 8% adalah dikenakan atas amaun pengeluaran), maka PRS adalah sesuai untuk orang ramai yang berhasrat untuk menambahkan lagi simpanan persaraan mereka selain dari KWSP. PRS juga sesuai untuk orang ramai yang tidak mempunyai simpanan KWSP, peniaga misalnya yang mana dengan syarat tiada pengeluaran dibenarkan sehingga umur 55 tahun, mereka akan terjamin untuk mempunyai dana persaraan ketika berumur 55 tahun nanti. Konsepnya adalah lebih kurang sama dengan KWSP, cuma kita boleh menentukan sendiri frekuensi dan jumlah caruman yang ingin kita buat. 

Kerajaan telah mengumumkan berbagai insentif untuk menggalakan rakyat Malaysia membuat simpanan di Skim Persaraan Swasta, sepertimana berikut:-
 
1) Insentif RM500 diberikan secara percuma oleh kerajaan untuk penyimpan-penyimpan muda yang berumur dari 20-30 tahun yang membuat simpanan minima RM1,000 dalam tahun yang sama. Insentif ini diberi sekali sahaja kepada mana-mana penyimpan yang memenuhi syarat di atas dan perlu digunakan untuk membuat pembelian unit-unit dibawah dana PRS dan tidak boleh dikeluarkan sehingga penyimpan mencecah umur 55 tahun. Insentif ini ditawarkan selama tempoh 5 tahun bermula tahun 2014 sehingga tahun 2018.
 
2) Anda boleh menuntut pelepasan cukai peribadi sehingga RM3,000 setiap tahun (bersama dengan mana-mana pembayaran anuiti tertunda) untuk 10 tempoh 10 tahun bermula tahun pentaksiran 2012.
 
3) Pendapatan yang diagihkan dari dana PRS akan dikecualikan dari cukai pendapatan Malaysia.

4) Majikan yang membuat caruman dalam PRS bagi pihak kakitangan mereka dibenarkan untuk menuntut potongan cukai terhadap pendapatan perniagaan mereka atas caruman yang dibuat (bersama dengan caruman yang dibuat kepada mana-mana skim lain yang diluluskan) sehingga 19% daripada ganjaran kakitangan.

Anda boleh rujuk di laman web yang dipaparkan di bawah untuk mengetahui dengan lebih terperinci berhubung tentang PRS.
 
 

No comments:

Post a Comment