Friday 29 April 2016

KWSP - Pendaftaran i - Akaun Dipermudahkan

Entri 33
Teks : Mohd Azhar Awang & Sumber dari KWSP
 
Seperti yang tuan/puan sedia maklum, KWSP mempunyai satu skim pengeluaran yang dinamakan Skim Pengeluaran Pelaburan Ahli. Pengeluaran ini membolehkan ahli mengeluarkan sebahagian simpanan Akaun 1 untuk membuat pelaburan bagi menambah dan meningkatkan simpanan persaraan untuk menyara kehidupan semasa persaraan. Ahli boleh melaburkan simpanan tidak melebihi 20% daripada jumlah yang melebihi Simpanan Asas dalam Akaun 1 melalui Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.
 
Dalam kerja saya sehari-hari sebagai Perunding Unit Amanah, seringkali saya mendapat pelanggan yang terlalu sibuk untuk mendapatkan penyata KWSP mereka tetapi berhasrat untuk membuat pengeluaran dari KWSP untuk dilaburkan di Public Mutual. Dalam kes yang sedemikian, saya menyarankan mereka untuk mempunyai i-akaun.
 
Kini pendaftaran i-akaun dipermudahkan untuk ahli. Ahli KWSP kini mempunyai pilihan yang lebih mudah untuk mendaftar i-Akaun tanpa perlu hadir ke Kaunter atau Kiosk KWSP. Penambahbaikan ini bertujuan memudahkan ahli mendaftar i-Akaun dan seterusnya menggalakkan penggunaan akaun ‘online’KWSP.

Mulai 24 Jun 2013, ahli boleh memilih untuk mendapatkan kod pengaktifan i-Akaun dengan cara menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03-8922 6000. Sebelum ini ahli boleh mendapatkan kod pengaktifan i-Akaun di Kios atau Kaunter KWSP sahaja. Setelah pengesahan dan pendaftaran dilakukan, ahli akan menerima SMS kod pengaktifan melalui telefon bimbit yang didaftarkan, seterusnya ahli perlu mengaktifkan i-Akaun melalui laman web myEPF dalam tempoh 90 hari.

Bagi pemilik i-Akaun, mereka kini boleh mengunakan pelbagai perkhidmatan online yang disediakan seperti:
1. Memohon e-Pengeluaran
2. Menyemak Penyata KWSP tahun terkini dan tahun sebelumnya
3. Menyemak status permohonan pengeluaran dan sejarah pengeluaran
4. Menyemak maklumat penamaan
5. Mengira anggaran jumlah layak untuk pengeluaran, simpanan dan pelaburan
6. Mengemaskini profil termasuk alamat surat-menyurat
7. Menyemak transaksi caruman KWSP terkini
8. Menyemak log aktiviti i-Akaun

Untuk maklumat lanjut, tuan/puan boleh melayari laman web kwsp di http://www.kwsp.gov.my
 

No comments:

Post a Comment