Sunday 1 May 2016

Nasihat untuk orang muda

Entri 35
Teks : Mohd Azhar Awang
 
Hari ini saya relax sikit bercuti kat rumah mertua sempena Hari Pekerja. Biasa sibuk memanjang dengan kerja-kerja Public Mutual saya. Tiba-tiba saya teringat perjalanan hidup yang dilalui selama ini dan berhasrat untuk menitipkan sedikit pesanan untuk orang-orang muda. Bolehlah dikatakan pesanan dari orang tua sebab tahun ni saya dah pun berumur 47 tahun.
 
1) Jangan abaikan peluang menimba ilmu semasa masih muda ini.
 
Saya selalu pesan terutama kepada anak-anak saya yang bersekolah menengah. Mereka bersekolah di sebuah sekolah menengah agama di Kota Bharu dengan lebih dua puluh jumlah matapelajaran semuanya.
 
Saya tidak pernah push mereka supaya mendapat tempat terbaik dan sememangnya saya akan berpuas hati jika mereka mendapat kedudukan yang baik, supaya ada sedikit usaha sebab kalau tidak mungkin tidak ada usaha langsung. Alhamdulillah, mereka nampak bersemangat dengan persekolahan mereka tetapi kadang-kadang nampak sedikit keletihan di wajah mereka. Pesan saya kepada mereka...berusaha dan bersabarlah selama beberapa tahun lagi di sekolah menengah atau di universiti misalnya kerana usaha yang mereka buat selama beberapa tahun ini menentukan perjalanan hidup mereka berpuluh-tahun akan datang.
 
Sekurang-kurangnya kalau tidak masuk universiti pun mereka dah ada pelajaran peringkat menengah dan boleh mula berbisnes.
 
2) Jangan syok sendiri.
 
Jika masuk universiti nanti, pilihlah subjek yang mempunyai nilai pasaran. Ibarat berniaga, kita sepatutnya berniaga sesuatu yang orang mahu dan bukannya sebab kita suka jual barang tersebut. Mungkin akan ada yang kata ijazah di universiti hanyalah tiket untuk perjalanan seterusnya akan tetapi pada saya biarlah tiket tersebut adalah sesuatu tiket yang lebih berguna berbanding tiket yang kurang berguna.
 
Juga kita kena menerima hakikat bahawa walaupun negara kita merupakan negara yang merdeka selama hampir enam dekad akan tetapi penguasaan Bahasa Inggeris yang mantap masih amat penting di sektor swasta. Pelajarilah Bahasa Inggeris sekurang-kurangnya di peringkat boleh berkomunikasi dalam bahasa tersebut.
 
Saya pernah mengetahui akan calon yang mempunyai CGPA yang amat baik yang mana mendapat A dalam semua subjek lain akan tetapi disebabkan dia gagal dalam Bahasa Inggeris, dia tidak diterima dalam permohonan pekerjaan. Menangis-nangis dia meminta diberi peluang mencuba dahulu akan tetapi majikan sudah tentu tidak berani mengambil risiko untuk menerima calon tersebut untuk bekerja di persekitaran yang rata-ratanya perantaraan adalah dalam Bahasa Inggeris.
 
3) Dapatkan pendapatan sampingan.
 
Bila dah mula bekerja, jangan terlalu selesa dengan comfort zone tersebut. Cubalah dapatkan pendapatan sampingan, lebih elok lagi yang mempunyai ciri-ciri pendapatan pasif. Menjadi seorang konsultan Public Mutual adalah satu bisnes/pekerjaan yang menawarkan ciri-ciri pendapatan pasif.
 
Bukannya saya katakan jangan bekerja dengan orang lain namun kita mesti ingat bahawa pekerjaan kita mempunyai terma dan syaratnya, fair and square. Adalah adil bagi sesuatu syarikat, apabila kita bekerja maka kita akan dibayar. Akan tetapi jika kita tidak mampu bekerja atas dasar kesihatan, majikan dikira sudah berlaku adil dengan menyediakan misalnya cuti sakit selama 30 hari setahun, sakit lagi diberi pula cuti separuh gaji selama enam bulan berikutnya, sakit juga lagi diberi pula cuti tanpa gaji selama enam bulan berikutnya pula dan selepas itu anda dikira bukan lagi dibawah perkhidmatan syarikat demikian. Then what, anda mungkin mendapat saraan pencen Perkeso tetapi adakah itu mencukupi untuk memenuhi komitmen bulanan anda?
 
Disebabkan itulah pentingnya kita mempunyai sandaran pendapatan sampingan atau bagus lagi pendapatan yang mempunyai ciri-ciri pendapatan pasif, bermakna jika kita tidak mampu bekerja pun kita masih mampu memenuhi komitmen bulanan kita.
 
Mempunyai pendapatan sampingan / pendapatan pasif bukanlah bermaksud sebagai sandaran jika kita tidak sihat semata-mata tetapi juga untuk capai keadaan bebas kewangan, bebas masa dan sebagainya. Banyak perkara yang kita boleh sumbangkan kepada alam sejagat jika kita dapat capai keadaan bebas masa dan bebas kewangan tersebut.
 
Pada saya, sebaiknya kita cuba mendapatkan sumber pendapatan kedua ini bukan hanya setelah kita bekerja tetapi semasa kita masih di bangku universiti lagi asalkan ianya tidak mengganggu pembelajaran kita. Perkara ini adalah sesuatu yang tidak diberitahu kepada saya dahulu sehingga saya sendiri terperangkap dalam zon selesa tersebut. Akan tetapi saya berhasrat adik-adik yang masih di bangku persekolahan / universiti semua yang membaca artikel ini tidak melakukan kesilapan tersebut.
 
Sebenarnya banyak lagi saya nak bagitahu sebagai pengalaman dari orang tua ini tapi nantilah lain kali saya bagitahu pula.
 

No comments:

Post a Comment