Sunday 5 June 2016

DDI ibarat memelihara anak yang berjasa...

Entri 41
Teks: Mohd Azhar Awang

Saya teringat satu perkongsian oleh seorang Group Agency Manager terkemuka dibawah Public Mutual yang mengibaratkan simpanan secara tetap setiap bulan (DDI - Direct Debit Instruction) ibarat kita memelihara seorang anak yang pastinya akan berjasa kepada kita. Beliau membuat perumpamaan memelihara seorang anak kerana pada mulanya kita terpaksa menyalurkan duit setiap bulan kepada anak tersebut sehingga akhirnya anak tersebut besar dan akan terus berjasa kepada kita setiap masa.
 
Manakan tidak, sekiranya kita membuat simpanan secara tetap setiap bulan, kita akan mendapat manafaat seperti berikut:-
 
1) Setiap tahun kita akan mendapat pengagihan dividen (walaupun pengisytiharan dividen adalah 'incidental' bagi dana-dana tertentu akan tetapi secara dasarnya kita dapat lihat hampir setiap tahun terdapat pengagihan dividen oleh Public Mutual). Pada tarikh tertentu anak kita tersebut akan mengagihkan dividen kepada kita tanpa kita minta. Ianya ibarat seorang anak yang sayang kepada kita orang tua mereka dan sentiasa berjasa memberi sumbangan kepada kita.
 
Berbanding dengan anak kita sendiri, kita akan berasa besyukur jika kita mendapat anak yang menghargai jasa kita dan sentiasa mengingati kita. Akan tetapi, sudah banyak kisah yang kita dengar akan anak-anak yang langsung tidak mengambil berat akan orang tua mereka.
 
2) Kita juga tidak perlu rungsing akan anak tersebut akan kedekut atau tidak mampu untuk memberi wang kepada kita apabila kita amat memerlukannya kerana tiada siapa yang boleh menyekat kita daripada mencairkan simpanan kita sendiri apabila kita memerlukannya.  
 
Berbanding dengan anak kita sendiri, walaupun mereka mungkin seorang anak yang baik akan tetapi kita perlu bersedia untuk menerima hakikat yang mereka mungkin tidak mampu untuk menolong kita akibat kekangan hidup yang melanda mereka sendiri dan sebagainya.
 
3) Anak yang kita pelihara melalui Public Mutual itu juga membolehkan kita menikmati berbagai keistimewaan tambahan yang ditawarkan secara otomatik dan percuma apabila mencapai tahap-tahap simpanan tertentu.
 
Berbanding dengan anak kita sendiri, kita mungkin tidak mahu menyusahkan mereka untuk mendapat keistimewaan-keistimewaan yang mana boleh kita ikhtiarkan sendiri hanya dengan mempunyai simpanan wang kita sendiri. Jadi mulakanlah sekarang memelihara anak yang bukan sahaja tidak perlu diberi makan minum, tempat tinggal malah akan berjasa kepada kita nanti, In Sha Allah.
 

Friday 3 June 2016

Sebab-sebab mengapa seseorang mengalami masalah cengkaman hutang dan cara mengatasinya.

Entri 40
Teks: Mohd Azhar Awang

Saya tahu ramai di antara kita yang amat berminat untuk memulakan pelan persaraan dengan menyimpan setiap bulan. Akan tetapi mereka tidak berdaya untuk melakukannya kerana antaranya adalah akibat terperangkap dengan masalah cengkaman hutang.
 
Saya gariskan sebab-sebab yang melanda mereka yang mengalami masalah cengkaman hutang dan cara mengatasinya:-
 
1. Sikap Boros
Sikap boros merupakan salah satu masalah yang melanda mereka yang mengalami masalah hutang. Akibat sikap boros, mereka bukan sahaja menjadi seseorang yang tidak berduit untuk meneruskan kehidupan dari bulan ke bulan kemudiannya malah mereka juga akan terjebak dalam masalah berhutang samada berhutang dengan bank atau berhutang dengan kawan-kawan, saudara-mara dan sebagainya.
 
Berhubung dengan sikap boros ini, saya kenal seseorang yang boleh dikatakan bukan orang senang malah pada masa-masa tertentu akan meminjam dari kawan-kawan dan saudara-mara beliau buat perbelanjaan bulanan. Pada suatu ketika, beliau mendapat sedikit pampasan kemalangan dari sebuah syarikat insurans akibat kemalangan yang menimpanya hasil dari kesilapan pihak yang melanggarnya (third party coverage on bodily injury). Jumlah pampasan tidaklah banyak sangat, lebih kurang berbelas ribu ringgit. Apa yang membuatkan saya terkejut apabila mendapat tahu beliau telah menggunakan wang pampasan tersebut antaranya dengan membelikan talipon bimbit untuk setiap orang anaknya, yang paling besar masa itu pun baru bersekolah menengah dan anaknya yang paling kecil semasa itu baru berumur tiga tahun juga dibelikan talipon  bimbit!! Sehingga kini beliau masih hidup dalam kesusahan akibat sikap borosnya.

Cara mengatasi
Kita boleh mengatasi sikap boros dengan membawa wang secukupnya setiap kali berbelanja. Juga jangan membawa wang plastik iaitu kad kredit. Kesalahan utama seseorang yang suka boros adalah selalu membawa wang lebih saat keluar berbelanja. Akibatnya sering kali mereka tergoda untuk membeli sesuatu yang sebenarnya tidak diperlukan sama sekali.

Kita juga boleh mengatasi sikap boros dengan membuat senarai barang-barang yang ingin dibeli sebelum keluar berbelanja. Barang-barang yang ingin dibeli tersebut telah kita pertimbangkan terlebih dahulu sebagai barang keperluan dan bukan sekadar kehendak.  Pastikan kita betul-betul ikut senarai yang kita bawa dan tidak membeli barang-barang yang tiada dalam senarai.

Juga pastikan kita keluar rumah dengan perut yang telah kenyang supaya kita tidak tertarik membeli barang-barang makanan yang tidak perlu. Memang lumrah manusia, jika kita lapar kita akan cenderung untuk membeli barang-barang makanan dalam jumlah yang banyak yang akhirnya menyumbang kepada pembaziran.

2. Sikap mengambil mudah akan komitmen hutang yang bakal ditanggung.
Sesetengah dari kita pula terlalu mengambil mudah akan komitmen hutang yang bakal ditanggung. Contohnya, mereka terlalu mudah membeli barangan-barangan secara berhutang samada dari syarikat-syarikat yang menawarkan kredit atau pun dengan menggunakan kad kredit yang kemudiannya mereka hanya membayar jumlah paling minima yang dibenarkan iaitu 5% dari baki hutang. Terdapat juga mereka yang membuat pinjaman bank yang mana walaupun bank telah mengira akan kemampuan bayar balik peminjam, akan tetapi peminjam sebenarnya juga mempunyai komitmen lain yang tidak dapat diperiksa melalui pemeriksaan kredit peminjam, contohnya CCRIS,  yang mana kemudiannya akibat komitmen bulanan melebihi jumlah pendapatan akhirnya masalah hutang semakin membesar.

Cara mengatasi
Walaupun membuat pinjaman bank adalah hampir tidak dapat dielakkan bagi membeli barang-barang yang besar (big ticket items) seperti rumah, kereta dan sebagainya bagi kebanyakkan orang, namun bagi barang-barang yang lebih murah contohnya berharga RM5,000 ke bawah, sebaiknya kita mengamalkan sikap tiada barang tanpa tunai. Bermakna untuk membeli barang-barang tersebut, kita boleh menyimpan wang terlebih dahulu dan kemudiannya membeli bila wang telah mencukupi dengan mengamalkan konsep 'delayed gratification'.

Perlu di ingatkan jika kita membeli barang secara kredit, kita sebenarnya membayar harga yang mahal kadang-kadang melebihi sekali ganda harga barang. Contoh, barang yang berharga RM3,000 jika kita membeli secara kredit, kita mungkin perlu membayar sehingga RM8,000 untuk mendapatkan barang tersebut secara kredit.
 
 3. Tiada Perancangan
Seseorang boleh juga terjebak dalam cengkaman hutang akibat tidak mempunyai perancangan yang baik. Contohnya, jika kita ingin membeli rumah, kita perlu tahu bahawa terdapat perbelanjaan yang perlu kita tanggung sendiri contohnya bahagian yang perlu dikeluarkan oleh pelanggan iaitu perbezaan antara harga rumah dan pinjaman bank yang diluluskan (bagi mereka yang mempunyai jumlah kwsp yang mencukupi, perkara ini tidak menjadi satu masalah kepada mereka), kos guaman (sesetengah bank tidak menanggung kos guaman), membeli mentol-mentol lampu yang perlu dipasang, dan sebagainya. Masalah orang-orang kita, mereka tidak merancang terlebih dahulu untuk mempunyai wang tambahan yang mana kos-kos sampingan ini di tanggung dengan membuat pinjaman peribadi pula yang mengakibatkan mereka mempunyai dua pinjaman yang perlu ditanggung iaitu pinjaman perumahan dan pinjaman peribadi. Jumlah baki yang kecil daripada gaji yang diperolehi setiap bulan memungkinkan mereka menggunakan kad kredit pula untuk menampung perbelanjaan bulanan. Akhirnya mereka terjerumus dalam kemelut hutang yang amat serius.

Cara mengatasi
Kita perlu merancang sebaiknya untuk mempunyai tabungan tertentu tambah-tambah lagi jika ianya melibatkan jumlah yang besar. Kita perlu menyimpan contohnya lima tahun terdahulu sebelum membeli sesebuah rumah. Dan kita perlu menyimpan di dana yang boleh mengatasi inflasi, jika tidak selepas lima tahun tersebut, kita akan dapati wang kita masih tidak mecukupi untuk menanggung kos tambahan tersebut. In Sha Allah, berdasarkan rekod terdahulu, Public Mutual mampu menyediakan dana yang mana pulangannya lebih tinggi dari inflasi. Akhir kata, kata orang pujangga, "Jika kita gagal merancang, maka kita merancang untuk gagal".
 

Wednesday 1 June 2016

Public Mutual umum agihan RM424j bagi 10 dana

Entri 39
Teks: Berita Harian Online bertarikh 31 Mei 2016

KUALA LUMPUR : Anak syarikat milik penuh Public Bank, Public Mutual, mengumumkan agihan lebih RM424 juta bagi 10 dana untuk tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mei 2016.

Dana berkenaan ialah Public Far-East Select Fund (1.25 sen seunit), Public Dividend Select Fund (0.25 sen seunit), Public Global Select Fund (0.60 sen seunit), Public China Titans Fund (0.50 sen seunit) dan Public Ittikal Fund (3.50 sen seunit).

Ia juga membabitkan dana Public Islamic Equity Fund (1.25 sen seunit), Public Islamic Select Treasures Fund (1.00 sen seunit), Public Balanced Fund (2.00 sen seunit), Public Select Bond Fund (3.75 sen seunit) dan PB ASEAN Dividend Fund (1.00 sen seunit).

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, syarikat berkata Public Dividend Select Fund, Public Ittikal Fund, Public Islamic Equity Fund, Public Islamic Select Treasures Fund, Public Balanced Fund dan Public Select Bond Fund terbuka kepada Skim Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
 
"Semua dana diagihkan oleh perunding unit amanah Public Mutual kecuali PB ASEAN Dividend Fund, yang diagihkan melalui cawangan Public Bank di seluruh negara," katanya.

Public Mutual adalah syarikat unit amanah swasta terbesar Malaysia dengan lebih 100 dana unit amanah dalam pengurusan.

Ia juga penyedia Skim Persaraan Swasta (PRS) yang diluluskan, mengurus sembilan dana PRS.

Sehingga akhir April 2016, saiz dana yang diuruskan oleh syarikat berjumlah RM66.9 bilion. - BERNAMA