Friday 6 May 2016

Tentang Impian, Visi Dan Tindakan

Entri 38
Teks: Mohd Azhar Awang

Saya pasti ramai di antara kita mempunyai impian untuk memiliki wang simpanan sebanyak sejuta ringgit. Akan tetapi berapa ramai di antara kita yang sebenarnya membuat perancangan untuk memiliki wang sebanyak itu bila kita bersara. Dan sudah tentu bilangan yang merancang untuk bersara lebih awal pada umur 35 tahun atau 40 tahun misalnya adalah jauh lebih sedikit. Kenapakah ianya berlaku? Adakah kerana kurang percaya kepada diri kita? Atau disebabkan kekurangan visi bahawa kita memang boleh mencapai wang sebanyak itu?
 
Kita perlu jelas tentang perkara ini iaitu visi adalah tidak sama dengan impian walaupun mempunyai impian adalah sebahagian daripada visi. Yang membezakan diantara dua perkara tersebut adalah tindakan kita untuk mencapainya.
 
Ramai diantara kita mempunyai impian untuk menjadi orang yang lebih sihat,  lebih baik, lebih kaya dan lebih berpengetahuan. Akan tetapi apabila kita BERTINDAK terhadap impian-impian tersebut - betul-betul menjelajah segala cara yang mungkin untuk menjadi lebih sihat, lebih baik, lebih kaya dan lebih berpengetahuan maka kita telah menggerakkan impian kita kearah kemungkinan-kemungkinan bahawa ianya boleh berlaku dan kemudiannya kearah realiti.
 

Thursday 5 May 2016

Kisah Faizal beli rumah

Entri 37
Teks: Mohd Azhar Awang

Hari ini saya hendak ceritakan sebuah kisah kejayaan yang mana dengan pengalaman dan kemahirannya yang sedia ada, Faizal mampu menukar nasibnya dari keadaan tidak layak untuk memiliki rumah idamannya kepada layak memiliki dan mendapat wang tambahan bulanan lagi.
 
Kisahnya pada suatu hari, Faizal yang telah sekian lama menyewa rumah akhirnya berhasrat untuk memiliki rumah sendiri. Setelah berjumpa dengan rumah idamannya, Faizal akhirnya menandatangani perjanjian jual beli dan membayar wang sebanyak RM3,000 kepada pemaju perumahan tersebut sebagai tanda bersetuju untuk membeli rumah tersebut. Faizal berhasrat untuk mengeluarkan simpanan KWSP akaun dua beliau yang betul cukup-cukup untuk menggenapkan sepuluh peratus dari harga rumah dan baki sembilan puluh peratus Faizal berhasrat membuat pinjaman bank.

Dengan hati yang berbunga-bunga, Faizal pergi ke Bank A untuk membuat pinjaman sebanyak sembilan puluh peratus dari harga rumah tersebut tetapi dengan gaji beliau, Faizal hanya layak mendapat pinjaman sebanyak lapan puluh peratus sahaja dari harga rumah. Keputusan yang sama berlaku apabila Faizal pergi ke Bank B. Faizal dah panik. Berbagai persoalan bermain-main di fikiran beliau. Adakah beliau perlu meminjam dengan saudara-mara untuk mencukupkan sepuluh peratus lagi dan mengikat perut selepas itu untuk membayar hutang kepada saudara-mara? Atau biarkan sahaja wang deposit RM3,000 itu hangus dan terkubur impian untuk memiliki rumah?

Faizal teringat pegawai bank tadi memberitahu beliau perlu mempunyai gaji tambahan sebanyak RM400 setiap bulan untuk layak mendapat pinjaman sembilan puluh peratus dari harga rumah. Tiba-tiba Faizal mendapat satu idea bagaimana untuk mendapat gaji tambahan tersebut. Apa yang Faizal buat, beliau menulis ke beberapa syarikat di bandar tempat tinggal beliau yang menawarkan perkhidmatan yang sama dengan syarikat tempat kerja beliau sekarang dan meminta gaji tambahan. Faizal tahu dengan pengalaman dan kemahiran yang beliau ada, beliau boleh mendapat gaji tambahan.
 
Hampir tiga bulan kemudian, Faizal mendapat kerja baru dengan gaji tambahan yang bukan sahaja menepati syarat kelayakan bank malah ada wang saku tambahan lagi. Faizal akhirnya berjaya memiliki rumah idaman beliau. Tahniah untuk Faizal. Rupanya banyak cara kita boleh buat untuk mendapatkan wang tambahan setiap bulan. Kita boleh membuat kerja tambahan dan kita juga boleh menggunakan pengalaman dan kemahiran yang kita ada di tempat lain yang memerlukan khidmat kita. Dan dengan wang tambahan yang kita ada, kita juga boleh menyimpan untuk hari tua kita.
 

Wednesday 4 May 2016

Penguasaan pasaran Public Mutual terus meningkat kepada 50.1%

Entri 36
Teks: Mohd Azhar Awang


Melayari sistem UTC Connect hari ini, saya terbaca bahawa Public Mutual telah mempunyai penguasaan pasaran 50.1%. Di dalam persaingan yang agak kompetitif, mempunyai separuh penguasaan pasaran membuktikan bahawa Public Mutual terus mendapat kepercayaan orang ramai yang mengamanahkan simpanan dari hasil titik peluh mereka kepada Public Mutual untuk mencapai berbagai matlamat kewangan mereka.

Merujuk kepada penulisan saya bertarikh 24hb April 2016, bermakna penguasaan pasaran oleh Public Mutual adalah terus meningkat. Ingin saya tegaskan sekali lagi di sini, jika hendak menyimpan, menyimpanlah di Public Mutual. Dengan pengalaman Public Mutual selama hampir 40 tahun dari segi menolong orang ramai untuk menyimpan dan dengan penguasaan pasaran melebihi 50 peratus, In Sha Allah anda tidak akan tersilap.
 
Apakah maksud penguasaan pasaran melebihi 50 peratus ini? Maksudnya secara kasar, dari 10 orang yang menyimpan di unit amanah swasta, 5 orang memilih untuk menyimpan di Public Mutual. Dan suara 50% ini In Sha Allah tidak tersilap.
 
Dan apakah maksud pengalaman hampir 40 tahun? Maksudnya, Public Mutual terus mendapat kepercayaan orang ramai tahun demi tahun kerana jika tidak mendapat kepercayaan orang ramai, sudah tentu sudah lama Public Mutual terpinggir dari industri unit amanah ini. Juga In Sha Allah, kepercayaan yang telah berlangsung selama 40 tahun tidak tersilap.

* Sistem UTC Connect adalah sebuah sistem yang diberi percuma kepada Perunding Unit Amanah di bawah Public Mutual untuk melihat paparan terkini akan jualan mereka, komisyen yang diterima oleh Perunding Unit Amanah, lapuran penilaian risiko pelanggan-pelanggan, jumlah insurans percuma yang ditawarkan kepada penyimpan-penyimpan yang layak, aktiviti-aktiviti yang dirangcangkan bagi setiap cawangan  dan sebagainya.
 

Sunday 1 May 2016

Nasihat untuk orang muda

Entri 35
Teks : Mohd Azhar Awang
 
Hari ini saya relax sikit bercuti kat rumah mertua sempena Hari Pekerja. Biasa sibuk memanjang dengan kerja-kerja Public Mutual saya. Tiba-tiba saya teringat perjalanan hidup yang dilalui selama ini dan berhasrat untuk menitipkan sedikit pesanan untuk orang-orang muda. Bolehlah dikatakan pesanan dari orang tua sebab tahun ni saya dah pun berumur 47 tahun.
 
1) Jangan abaikan peluang menimba ilmu semasa masih muda ini.
 
Saya selalu pesan terutama kepada anak-anak saya yang bersekolah menengah. Mereka bersekolah di sebuah sekolah menengah agama di Kota Bharu dengan lebih dua puluh jumlah matapelajaran semuanya.
 
Saya tidak pernah push mereka supaya mendapat tempat terbaik dan sememangnya saya akan berpuas hati jika mereka mendapat kedudukan yang baik, supaya ada sedikit usaha sebab kalau tidak mungkin tidak ada usaha langsung. Alhamdulillah, mereka nampak bersemangat dengan persekolahan mereka tetapi kadang-kadang nampak sedikit keletihan di wajah mereka. Pesan saya kepada mereka...berusaha dan bersabarlah selama beberapa tahun lagi di sekolah menengah atau di universiti misalnya kerana usaha yang mereka buat selama beberapa tahun ini menentukan perjalanan hidup mereka berpuluh-tahun akan datang.
 
Sekurang-kurangnya kalau tidak masuk universiti pun mereka dah ada pelajaran peringkat menengah dan boleh mula berbisnes.
 
2) Jangan syok sendiri.
 
Jika masuk universiti nanti, pilihlah subjek yang mempunyai nilai pasaran. Ibarat berniaga, kita sepatutnya berniaga sesuatu yang orang mahu dan bukannya sebab kita suka jual barang tersebut. Mungkin akan ada yang kata ijazah di universiti hanyalah tiket untuk perjalanan seterusnya akan tetapi pada saya biarlah tiket tersebut adalah sesuatu tiket yang lebih berguna berbanding tiket yang kurang berguna.
 
Juga kita kena menerima hakikat bahawa walaupun negara kita merupakan negara yang merdeka selama hampir enam dekad akan tetapi penguasaan Bahasa Inggeris yang mantap masih amat penting di sektor swasta. Pelajarilah Bahasa Inggeris sekurang-kurangnya di peringkat boleh berkomunikasi dalam bahasa tersebut.
 
Saya pernah mengetahui akan calon yang mempunyai CGPA yang amat baik yang mana mendapat A dalam semua subjek lain akan tetapi disebabkan dia gagal dalam Bahasa Inggeris, dia tidak diterima dalam permohonan pekerjaan. Menangis-nangis dia meminta diberi peluang mencuba dahulu akan tetapi majikan sudah tentu tidak berani mengambil risiko untuk menerima calon tersebut untuk bekerja di persekitaran yang rata-ratanya perantaraan adalah dalam Bahasa Inggeris.
 
3) Dapatkan pendapatan sampingan.
 
Bila dah mula bekerja, jangan terlalu selesa dengan comfort zone tersebut. Cubalah dapatkan pendapatan sampingan, lebih elok lagi yang mempunyai ciri-ciri pendapatan pasif. Menjadi seorang konsultan Public Mutual adalah satu bisnes/pekerjaan yang menawarkan ciri-ciri pendapatan pasif.
 
Bukannya saya katakan jangan bekerja dengan orang lain namun kita mesti ingat bahawa pekerjaan kita mempunyai terma dan syaratnya, fair and square. Adalah adil bagi sesuatu syarikat, apabila kita bekerja maka kita akan dibayar. Akan tetapi jika kita tidak mampu bekerja atas dasar kesihatan, majikan dikira sudah berlaku adil dengan menyediakan misalnya cuti sakit selama 30 hari setahun, sakit lagi diberi pula cuti separuh gaji selama enam bulan berikutnya, sakit juga lagi diberi pula cuti tanpa gaji selama enam bulan berikutnya pula dan selepas itu anda dikira bukan lagi dibawah perkhidmatan syarikat demikian. Then what, anda mungkin mendapat saraan pencen Perkeso tetapi adakah itu mencukupi untuk memenuhi komitmen bulanan anda?
 
Disebabkan itulah pentingnya kita mempunyai sandaran pendapatan sampingan atau bagus lagi pendapatan yang mempunyai ciri-ciri pendapatan pasif, bermakna jika kita tidak mampu bekerja pun kita masih mampu memenuhi komitmen bulanan kita.
 
Mempunyai pendapatan sampingan / pendapatan pasif bukanlah bermaksud sebagai sandaran jika kita tidak sihat semata-mata tetapi juga untuk capai keadaan bebas kewangan, bebas masa dan sebagainya. Banyak perkara yang kita boleh sumbangkan kepada alam sejagat jika kita dapat capai keadaan bebas masa dan bebas kewangan tersebut.
 
Pada saya, sebaiknya kita cuba mendapatkan sumber pendapatan kedua ini bukan hanya setelah kita bekerja tetapi semasa kita masih di bangku universiti lagi asalkan ianya tidak mengganggu pembelajaran kita. Perkara ini adalah sesuatu yang tidak diberitahu kepada saya dahulu sehingga saya sendiri terperangkap dalam zon selesa tersebut. Akan tetapi saya berhasrat adik-adik yang masih di bangku persekolahan / universiti semua yang membaca artikel ini tidak melakukan kesilapan tersebut.
 
Sebenarnya banyak lagi saya nak bagitahu sebagai pengalaman dari orang tua ini tapi nantilah lain kali saya bagitahu pula.