Wednesday 30 March 2016

Aset yang paling bernilai

Entri 15
Teks: Mohd Azhar Awang
 
Di keheningan malam ini aku teringat sangat akan ibu dan ayah yang telah tiada. Ayah telah lama meninggalkan kami, hampir 39 tahun yang lalu yang mana ketika aku baru belajar mengenal dunia dan masih terlalu galak sebagai seorang kanak-kanak yang baru menginjak peringkat awal persekolahan sekolah rendah. Pada hari peninggalan ayah, teringat aku yang biasanya berjalan kaki lebih dua batu pulang ke rumah tapi pada hari itu cikgu menawarkan naik motorsikalnya untuk di hantar kerumahku. Sampai di rumah aku lihat ramai orang di rumahku. Rupa-rupanya cikgu telah mengetahui akan pemergian ayahku tapi tidak sampai hati untuk memberitahu terus kepadaku. Ayah terlalu baik orangnya dan tidak pernah langsung berkasar dengan kami anak-anaknya. Pemergian ayah terlalu cepat ku rasa tanpa sempat aku terus bermanja dengannya.
 
Ibu pula meninggalkan kami lebih setahun yang lalu. Alhamdulillah, kami semua adik beradik sempat bersama-sama ibu yang dipinjamkan kepada kami buat tempoh yang jauh lebih lama berbanding ayah sehingga kami sendiri telah bergelar ibu dan ayah dan faham bagaimana ayah dan ibu kami melayan kerenah anak-anak mereka. Biarpun kami adik-beradik melalui sedikit kegetiran dalam menempuh zaman pembesaran kami, namun kami faham bahawa ibu telah berusaha sedaya-upaya beliau untuk menjaga dan bersama-sama dengan kami semua.
 
Kepada yang masih mempunyai ibu-bapa, jagalah ibu bapa sebaik mungkin. Sebelum pergi bekerja, ciumlah tangan mereka. Alangkah beruntungnya mereka yang tinggal sebumbung dengan mak dan ayah mereka. Kalau berjauhan luangkanlah selalu masa untuk melawat mereka.
 
Doakan mereka malah sedekahkah pahala dari amalan-amalan baik kita seperti mengaji Al-Quran, berzikir dan sedekah. Tidak akan berkurangan rezeki kita malah Allah tambahkan lagi rezeki serta nikmat buat anak-anak yang taat.
 
Bagi yang telah tiada, jangan lupa doakan mak ayah setiap kali solat, sedekahkan Al fatihah dan apa sahaja surah yang kita baca, pohon keampunan untuk mereka dan doakan agar mereka ditempatkan dalam golongan yg diredhai Allah. Jangan kedekut untuk luangkan masa mengaji Al-Quran dan sedekahkan pahala untuk mereka kerana apa lagi yang ada pada mereka selain dari doa-doa anak yang soleh.
 
Saya percaya sahabat-sahabat saya pun sangat kasihkan ibu dan ayah dan boleh melakukannya.
 
Boleh ke boleh?

No comments:

Post a Comment