Friday 18 March 2016

Fokus...fokus...fokus...

Entri 6
Teks: Mohd Azhar Awang

Keupayaan manusia adalah terbatas. Manusia tidak mampu untuk melakukan sesuatu yang banyak secara serentak. Jika terlalu banyak perkara hendak dilakukan dalam masa serentak, fikiran manusia akan bercabang. Dalam kebingungan, satu perkara pun tidak akan selesai. Lebih teruk lagi, dalam kebingungan tidak tahu mana satu yang mahu dimulakan dahulu, tiada komitmen terhasil dan akhirnya tiada satu perkara pun yang dimulakan. Janganlah kita beranggapan dengan melakukan banyak perkara dalam satu masa, maka kita akan mendapat kejayaan dalam semua perkara tersebut. Apa yang berlaku, kita akan mendapat kegagalan dalam semua perkara tersebut.
 
Kita boleh mempunyai rancangan untuk melakukan banyak perkara tetapi kita perlu melakukannya satu persatu. Kita perlu memilih yang mana lebih penting dahulu dan kemudian barulah kita melakukan perkara-perkara yang lain pula. Dalam ertikata lain, kita perlu fokus akan apa yang kita lakukan. Jika kita cuba membuat sesuatu perkara serentak, kita tidak akan kemana-mana. Seorang nakhoda kapal yang tidak mempunyai pendirian tetap akan arah yang ingin ditujunya akan menghadapi masalah. Contohnya, jika pada awalnya dia memilih untuk menuju ke utara dan kemudian di pertengahan jalan dia menukar haluan menuju ke selatan dan seterusnya berubah hati ingin ke utara semula, akhirnya dia tidak akan kemana-mana yang mana minyak kapal pun mungkin akan habis di tengah lautan. Begitu juga manusia yang cuba melakukan terlalu banyak perkara serentak, keupayaannya dari segi mental dan fizikal akan habis dipertengahan jalan tanpa menyiapkan walau satu pun perkara.
 
Berbalik kepada konteks nakhoda tadi, jika mengikut keutamaan menuju ke utara lebih penting, maka dia perlu terus menuju ke utara dahulu tanpa berfikir banyak cabang. Ianya akan menjadi sesuatu yang positif pula untuk nakhoda tersebut yang mana dia boleh mendapat pengalaman dan pengetahuan hasil dari perjalanan ke utara tersebut yang boleh digunakannya dalam perjalanan ke selatan pula.
 
Sifat ketamakkan yang ada pada manusia membuatkan mereka hendakkan yang banyak serentak. Kalau boleh kejayaan yang banyak dan besar pula dalam masa yang singkat. Mereka yang mempunyai sikap begini akan gagal, sesuai dengan pepatah "Yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran". Mereka juga tidak akan mempunyai kepakaran yang tinggi dalam bidang mereka. Akibat menceburi banyak perkara dalam satu masa, kepakaran mereka adalah biasa-biasa sahaja dan tidak menjadi pilihan untuk menjadi tempat rujukan apatah lagi untuk dihadiahkan projek yang besar khusus untuk bidang tertentu. Ada satu pepatah Bahasa Inggeris yang berbunyi, "Jack of all trades, master of none". Akhir kata, In Sha Allah kejayaan menanti kepada sesiapa yang fokus dalam perkara yang mereka lakukan.
 

No comments:

Post a Comment