Sunday 13 March 2016

Salam perkenalan

Entri 1
Teks: Mohd Azhar Awang
Foto: Mohd Azhar Awang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Salam Perkenalan

Alhamdulillah dengan izin Allah swt dapat jua saya mewujudkan blog Panduan Perancangan Kewangan ini. Semuga ianya menjadi wadah untuk saya berkongsi ilmu-ilmu dan pengalaman tentang perancangan kewangan kepada anda semua. Berbekalkan pengalaman bekerja di bidang perbankan selama hampir dua puluh tahun tahun serta dengan pelbagai kursus-kursus kewangan yang saya sertai dan pembacaan yang meluas tentang aspek-aspek kewangan, saya akan cuba untuk menjadikan blog ini sebagai salah satu rujukan dari segi perancangan kewangan, In Sha Allah.
 
Sebelum saya melangkah lebih jauh, suka untuk saya memperkenalkan diri saya sebagai Mohd Azhar Awang. Saya dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan pada 29 Disember 1969, betul-betul diambang dekad tujuh puluhan. Ini bermakna sudah lebih empat puluh enam tahun saya diberikan peluang untuk menghela nafas di bumi Allah ini. Alhamdulillah, syukur di atas segala limpahan nikmat yang dikurniakan olehNya.
 
Ayah saya merupakan seorang ahli bomba manakala ibu merupakan seorang suri rumah sepenuh masa. Apabila ayah pencen ketika saya berumur lapan tahun, ayah telah membuka sebuah ladang getah yang kecil di Sungai Tong, Terengganu. Namun setengah tahun kemudiannya ayah telah terlebih dahulu dijemput mengadap Ilahi. Maka bermulalah jerih payah kehidupan tanpa seorang ayah tambahan pula kami sememangnya orang susah tanpa sebarang harta kecuali sedikit duit pencen arwah ayah. Selepas peninggalan arwah ayah, melihatkan kesusahan kami, saya dijemput oleh adik beradik berlainan ibu yang lebih dewasa untuk tinggal bersama mereka. Pada ketika darjah lima saya tinggal bersama abang saya yang merupakan seorang peneroka di Gugusan Jengka, Pahang.
 
Akan tetapi, memandangkan mereka juga bukan orang senang, maka saya amat bersyukur apabila diterima masuk ke sebuah asrama milik Felda iaitu Asrama Semai Bakti Felda, Kuala Lumpur  untuk melanjutkan pelajaran peringkat menengah yang mana pengajian saya di tanggung oleh Felda dan juga saya menerima sedikit Biasiswa kecil Persekutuan untuk wang saku.  Di Asrama Semai Bakti Felda, kami semua ditempatkan di sekolah-sekolah terbaik di ibukota dimana saya ditempatkan di Sekolah Menengah Lelaki Methodist, Kuala Lumpur sehingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia. Saya kemudiannya melanjutkan pelajaran di Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya dan kemudiannya melangkah ke Fakulti Sains, Universiti Malaya yang mana saya membuat pengkhususan di bidang matematik.
 
Selepas tamat pengajian, saya kemudiannya bekerja sebagai Eksekutif Minyak Pelincir (Lubricant Executive) dengan sebuah syarikat minyak terkemuka di ibukota negara. Memandangkan syarikat minyak tersebut tidak mempunyai cawangan-cawangan serantau yang meluas sedangkan saya sangat berkeinginan bekerja di luar Kuala Lumpur dan keluar dari kesibukkan kota metropolitan, saya kemudiannya memohon pekerjaan di berbagai institusi perbankan. Pada tahun 1996, permohonan saya terjawab apabila saya kemudiannya diterima bekerja sebagai Pegawai Kredit oleh Ban Hin Lee Bank Berhad, sebuah bank yang beribupejabat di Pulau Pinang. Ban Hin Lee Bank mempunyai saiz yang agak kecil berbanding dengan bank-bank lain yang lebih besar akan tetapi sentiasa mengekalkan rekod yang baik dari segi perkembangan pasaran, perhubungan yang baik dengan pelanggan dan amat menitikberat akan kebajikan kakitangannya. Saya ditempatkan di ibu negeri kelahiran saya iaitu Kota Bharu, Kelantan.
 
Pada tahun 1996 itulah bermula episod saya bekerja di sektor perbankan dengan berbagai bank utama di tanahair sehingga hampir dua puluh tahun lamanya dan menimba pelbagai pengalaman dalam hal-hal kewangan. Pada tahun 2000 saya kemudiannya bekerja dengan Southern Bank Berhad berikutan pergabungan dengan Ban Hin Lee Bank Berhad, pada tahun 2003 saya berhijrah ke RHB Bank Berhad mengejar karier yang lebih baik dan pada tahun 2007 saya berhijrah sekali lagi, kali ini ke Cimb Bank Berhad. Sepanjang karier, saya pernah juga ditempatkan di cawangan luar Kelantan. Dalam karier perbankan saya, pendedahan terbesar saya adalah dalam bidang perbankan komersial (commercial banking) walaupun saya juga mempunyai pendedahan dalam bidang perbankan pengguna/peribadi (consumer/personal banking).
 
Masa yang terhad bersama keluarga beserta keinginan untuk lebih meluangkan masa untuk menuntut ilmu buat bekalan ke alam abadi  membuatkan saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan pada bulan Ogos 2014 dan seterusnya bekerja sendiri bermula pada bulan November 2014. Tidak seperti mana kakitangan yang lain yang meletakkan jawatan setelah mendapat pampasan, saya meletakkan jawatan dengan notis biasa tiga bulan. Sebenarnya dengan gaji yang saya terima ketika itu tanpa meletakkan jawatan dan tambahan pula tinggal di Kota Bharu yang mana kos sara hidup boleh dikira masih rendah berbanding dengan tempat-tempat lain, saya mampu untuk hidup selesa tapi saya menyedari bukan itu yang saya mahu. Kerjaya yang saya pilih untuk bekerja sendiri ini adalah sebagai Perunding Unit Amanah di bawah Public Mutual Berhad, sebuah anak syarikat milik penuh Public Bank Berhad. Walaupun tanpa gaji asas, berkat usaha dan keazaman, saya yakin saya mampu untuk membina kehidupan dengan ganjaran yang jauh lebih baik berbanding dengan apa yang saya terima semasa bekerja makan gaji dahulu, In Sha Allah dan apa yang lebih penting adalah fleksibiliti masa yang saya dapat kini.
 
Saya menamatkan zaman bujang saya pada tahun 2000 dan mempunyai keluarga yang bahagia dengan kini mempunyai empat orang cahayamata iaitu yang pertama dan kedua adalah anak lelaki dan ketiga dan keempat adalah anak perempuan. Alhamdulillah, dengan rezeki Allah swt, saya dikurniakan isteri dan anak-anak yang baik. Isteri saya sekarang masih bekerja makan gaji yang mana beliau bekerja dengan Amanah Ikhtiar Malaysia, sebuah agensi yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk memberi pinjaman mikro kredit kepada usahawan-usahawan kecil. Untuk anak-anak, memang rancangan saya untuk menempatkan mereka di sekolah-sekolah agama supaya mereka bukan sahaja mendapat pendidikan dunia tetapi pendidikan agama juga. Alhamdulillah anak-anak lelaki saya sekarang bersekolah menengah di Maahad Muhammadi Lelaki, Kota Bharu yang merupakan salah sebuah sekolah agama terpilih di Kota Bharu. Saya berharap anak-anak perempuan saya juga dapat mengikut jejak langkah abang-abang mereka nanti.
 
Saya berharap untuk terus melangkah kehadapan dalam kerjaya saya sebagai Perunding Unit Amanah Public Mutual ini. Disamping pemasaran secara offline yang biasa saya lakukan, pemasaran melalui emel menggunakan autoresponder yang telah saya usahakan sedikit sebanyak, pemasaran melalui LinkedIn dan pemasaran melalui Facebook peribadi, saya merasa amat bertuah diperkenalkan dengan Pn Anys Idayu Zakaria dan Pn Masayu Ahmad untuk memperkembangkan saluran pemasaran melalui blog pula. Semuga ianya menjadi titik tolak untuk saya terus bersinar dalam kerjaya baru saya ini, In Sha Allah.



No comments:

Post a Comment