Thursday 5 May 2016

Kisah Faizal beli rumah

Entri 37
Teks: Mohd Azhar Awang

Hari ini saya hendak ceritakan sebuah kisah kejayaan yang mana dengan pengalaman dan kemahirannya yang sedia ada, Faizal mampu menukar nasibnya dari keadaan tidak layak untuk memiliki rumah idamannya kepada layak memiliki dan mendapat wang tambahan bulanan lagi.
 
Kisahnya pada suatu hari, Faizal yang telah sekian lama menyewa rumah akhirnya berhasrat untuk memiliki rumah sendiri. Setelah berjumpa dengan rumah idamannya, Faizal akhirnya menandatangani perjanjian jual beli dan membayar wang sebanyak RM3,000 kepada pemaju perumahan tersebut sebagai tanda bersetuju untuk membeli rumah tersebut. Faizal berhasrat untuk mengeluarkan simpanan KWSP akaun dua beliau yang betul cukup-cukup untuk menggenapkan sepuluh peratus dari harga rumah dan baki sembilan puluh peratus Faizal berhasrat membuat pinjaman bank.

Dengan hati yang berbunga-bunga, Faizal pergi ke Bank A untuk membuat pinjaman sebanyak sembilan puluh peratus dari harga rumah tersebut tetapi dengan gaji beliau, Faizal hanya layak mendapat pinjaman sebanyak lapan puluh peratus sahaja dari harga rumah. Keputusan yang sama berlaku apabila Faizal pergi ke Bank B. Faizal dah panik. Berbagai persoalan bermain-main di fikiran beliau. Adakah beliau perlu meminjam dengan saudara-mara untuk mencukupkan sepuluh peratus lagi dan mengikat perut selepas itu untuk membayar hutang kepada saudara-mara? Atau biarkan sahaja wang deposit RM3,000 itu hangus dan terkubur impian untuk memiliki rumah?

Faizal teringat pegawai bank tadi memberitahu beliau perlu mempunyai gaji tambahan sebanyak RM400 setiap bulan untuk layak mendapat pinjaman sembilan puluh peratus dari harga rumah. Tiba-tiba Faizal mendapat satu idea bagaimana untuk mendapat gaji tambahan tersebut. Apa yang Faizal buat, beliau menulis ke beberapa syarikat di bandar tempat tinggal beliau yang menawarkan perkhidmatan yang sama dengan syarikat tempat kerja beliau sekarang dan meminta gaji tambahan. Faizal tahu dengan pengalaman dan kemahiran yang beliau ada, beliau boleh mendapat gaji tambahan.
 
Hampir tiga bulan kemudian, Faizal mendapat kerja baru dengan gaji tambahan yang bukan sahaja menepati syarat kelayakan bank malah ada wang saku tambahan lagi. Faizal akhirnya berjaya memiliki rumah idaman beliau. Tahniah untuk Faizal. Rupanya banyak cara kita boleh buat untuk mendapatkan wang tambahan setiap bulan. Kita boleh membuat kerja tambahan dan kita juga boleh menggunakan pengalaman dan kemahiran yang kita ada di tempat lain yang memerlukan khidmat kita. Dan dengan wang tambahan yang kita ada, kita juga boleh menyimpan untuk hari tua kita.
 

No comments:

Post a Comment