Sunday, 1 May 2016

Nasihat untuk orang muda

Entri 35
Teks : Mohd Azhar Awang
 
Hari ini saya relax sikit bercuti kat rumah mertua sempena Hari Pekerja. Biasa sibuk memanjang dengan kerja-kerja Public Mutual saya. Tiba-tiba saya teringat perjalanan hidup yang dilalui selama ini dan berhasrat untuk menitipkan sedikit pesanan untuk orang-orang muda. Bolehlah dikatakan pesanan dari orang tua sebab tahun ni saya dah pun berumur 47 tahun.
 
1) Jangan abaikan peluang menimba ilmu semasa masih muda ini.
 
Saya selalu pesan terutama kepada anak-anak saya yang bersekolah menengah. Mereka bersekolah di sebuah sekolah menengah agama di Kota Bharu dengan lebih dua puluh jumlah matapelajaran semuanya.
 
Saya tidak pernah push mereka supaya mendapat tempat terbaik dan sememangnya saya akan berpuas hati jika mereka mendapat kedudukan yang baik, supaya ada sedikit usaha sebab kalau tidak mungkin tidak ada usaha langsung. Alhamdulillah, mereka nampak bersemangat dengan persekolahan mereka tetapi kadang-kadang nampak sedikit keletihan di wajah mereka. Pesan saya kepada mereka...berusaha dan bersabarlah selama beberapa tahun lagi di sekolah menengah atau di universiti misalnya kerana usaha yang mereka buat selama beberapa tahun ini menentukan perjalanan hidup mereka berpuluh-tahun akan datang.
 
Sekurang-kurangnya kalau tidak masuk universiti pun mereka dah ada pelajaran peringkat menengah dan boleh mula berbisnes.
 
2) Jangan syok sendiri.
 
Jika masuk universiti nanti, pilihlah subjek yang mempunyai nilai pasaran. Ibarat berniaga, kita sepatutnya berniaga sesuatu yang orang mahu dan bukannya sebab kita suka jual barang tersebut. Mungkin akan ada yang kata ijazah di universiti hanyalah tiket untuk perjalanan seterusnya akan tetapi pada saya biarlah tiket tersebut adalah sesuatu tiket yang lebih berguna berbanding tiket yang kurang berguna.
 
Juga kita kena menerima hakikat bahawa walaupun negara kita merupakan negara yang merdeka selama hampir enam dekad akan tetapi penguasaan Bahasa Inggeris yang mantap masih amat penting di sektor swasta. Pelajarilah Bahasa Inggeris sekurang-kurangnya di peringkat boleh berkomunikasi dalam bahasa tersebut.
 
Saya pernah mengetahui akan calon yang mempunyai CGPA yang amat baik yang mana mendapat A dalam semua subjek lain akan tetapi disebabkan dia gagal dalam Bahasa Inggeris, dia tidak diterima dalam permohonan pekerjaan. Menangis-nangis dia meminta diberi peluang mencuba dahulu akan tetapi majikan sudah tentu tidak berani mengambil risiko untuk menerima calon tersebut untuk bekerja di persekitaran yang rata-ratanya perantaraan adalah dalam Bahasa Inggeris.
 
3) Dapatkan pendapatan sampingan.
 
Bila dah mula bekerja, jangan terlalu selesa dengan comfort zone tersebut. Cubalah dapatkan pendapatan sampingan, lebih elok lagi yang mempunyai ciri-ciri pendapatan pasif. Menjadi seorang konsultan Public Mutual adalah satu bisnes/pekerjaan yang menawarkan ciri-ciri pendapatan pasif.
 
Bukannya saya katakan jangan bekerja dengan orang lain namun kita mesti ingat bahawa pekerjaan kita mempunyai terma dan syaratnya, fair and square. Adalah adil bagi sesuatu syarikat, apabila kita bekerja maka kita akan dibayar. Akan tetapi jika kita tidak mampu bekerja atas dasar kesihatan, majikan dikira sudah berlaku adil dengan menyediakan misalnya cuti sakit selama 30 hari setahun, sakit lagi diberi pula cuti separuh gaji selama enam bulan berikutnya, sakit juga lagi diberi pula cuti tanpa gaji selama enam bulan berikutnya pula dan selepas itu anda dikira bukan lagi dibawah perkhidmatan syarikat demikian. Then what, anda mungkin mendapat saraan pencen Perkeso tetapi adakah itu mencukupi untuk memenuhi komitmen bulanan anda?
 
Disebabkan itulah pentingnya kita mempunyai sandaran pendapatan sampingan atau bagus lagi pendapatan yang mempunyai ciri-ciri pendapatan pasif, bermakna jika kita tidak mampu bekerja pun kita masih mampu memenuhi komitmen bulanan kita.
 
Mempunyai pendapatan sampingan / pendapatan pasif bukanlah bermaksud sebagai sandaran jika kita tidak sihat semata-mata tetapi juga untuk capai keadaan bebas kewangan, bebas masa dan sebagainya. Banyak perkara yang kita boleh sumbangkan kepada alam sejagat jika kita dapat capai keadaan bebas masa dan bebas kewangan tersebut.
 
Pada saya, sebaiknya kita cuba mendapatkan sumber pendapatan kedua ini bukan hanya setelah kita bekerja tetapi semasa kita masih di bangku universiti lagi asalkan ianya tidak mengganggu pembelajaran kita. Perkara ini adalah sesuatu yang tidak diberitahu kepada saya dahulu sehingga saya sendiri terperangkap dalam zon selesa tersebut. Akan tetapi saya berhasrat adik-adik yang masih di bangku persekolahan / universiti semua yang membaca artikel ini tidak melakukan kesilapan tersebut.
 
Sebenarnya banyak lagi saya nak bagitahu sebagai pengalaman dari orang tua ini tapi nantilah lain kali saya bagitahu pula.
 

Saturday, 30 April 2016

Tanya si anak, "Mak dan ayah dah sediakan belum pelan pendidikan saya...?"

Entri 34
Teks : Mohd Azhar Awang

Matlamat Pelaburan : Pendidikan anak
Tempoh Masa            : Sehingga 18 tahun

Saya teringat zaman saya masuk universiti dulu, saya mendapat pinjaman dari Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menampung perbelanjaan pendidikan saya. Kemudiannya, kerajaan memperkenalkan pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk membiayai kos pendidikan rakyat Malaysia. Setahu saya pinjaman dari PTPTN masih diperkenalkan sehingga sekarang walaupun PTPTN menghadapi sedikit masalah peminjam-peminjam yang gagal membayar balik pinjaman mereka menyebabkan tabung PTPTN untuk memberi pinjaman seterusnya kepada pelajar lain semakin berkurang.
 
Saya dikira bernasib baik kerana saya berjaya masuk ke universiti awam dan kerajaan mampu untuk menyediakan dana untuk membiayai pendidikan anak-anak Malaysia pada ketika tersebut. Namun, suatu yang kita perlu ingat, suatu yang tersedia pada masa yang lepas tidak semestinya akan tersedia pada masa akan datang. Kita perlu bersedia dengan segala kemungkinan sebagai contoh tempat yang terhad di universiti awam yang mana kita mungkin perlu menghantar anak kita ke universiti swasta untuk menyambung pengajian mereka. Anak-anak bila membesar akan memerlukan dana untuk membiayai pendidikan mereka dan sebaiknya kita sendiri yang menyediakan dana tersebut supaya kita lebih bersedia atas segala kemungkinan yang mungkin berlaku. Kita perlu bersedia seandainya nanti anak-anak kita bertanyakan soalan berikut, "Mak dan ayah dah sediakan belum pelan pendidikan saya...?"

Banyak faktor yang perlu di ambilkira dalam menyediakan pelan pendidikan untuk anak ini, yang mana faktor-faktornya saya senaraikan seperti berikut:-

1) Faktor Pilihan Tempat Belajar

Pilihan tempat belajar memainkan peranan yang penting dalam menyediakan tabung pendidikan untuk anak-anak kita. Sudah tentu dana yang diperlukan adalah jauh lebih murah jika kita berjaya meletakkan anak kita di universiti awam. Kos yang diperlukan akan semakin meningkat mengikut unjuran berikut:

Universiti Awam >> Universiti Separa Kerajaan >> Universiti Swasta Dalam Negara >> Universiti Luar Negara Dengan Kampus Tempatan >>Universiti Luar Negara Sepenuhnya.
 
2)  Faktor Inflasi

Kita tidak sepatutnya berada dalam keadaan pada ketika kita mahu menggunakan wang tersebut untuk pendidikan anak, jumlah yang diperlukan menjadi tidak cukup akibat faktor inflasi. Disinilah pentingnya kita menyimpan untuk tabung pendidikan anak kita di tempat yang betul yang mana unjuran pulangan untuk simpanan yang kita buat tersebut semestinya mengatasi kadar inflasi dengan menyimpan di unit amanah sebagai contoh. 

3) Faktor Kecairan

Walaupun objektif kita untuk tabung simpanan anak kita adalah untuk tempoh jangkamasa yang panjang, adalah penting bahawa dana tersebut mempunyai kecairan yang mana kita boleh mengakses dana tersebut apabila kita memerlukannya untuk pendidikan anak kita. Menyimpan di unit amanah memberikan kecairan tersebut berbanding dengan menyimpan dalam bentuk rumah dan sebagainya. Jika menyimpan dalam bentuk rumah, kita tidak mahu kita terperangkap dalam situasi kita tidak dapat mencari pembeli tepat pada masanya di saat kita memerlukan dana pendidikan tersebut untuk membiayai pendidikan anak kita.

4) Faktor Masa

Menyediakan pelan pendidikan untuk anak ini sebaiknya ketika anak kita baru lahir supaya kita dapat kuasa pulangan berganda dalam tempoh masa yang lebih lama. Sebagai contoh, jika kita berhasrat untuk menyediakan RM150,000 untuk tabung pendidikan anak kita apabila mereka berumur 18 tahun, kita hanya perlu menyimpan sebanyak RM321 sebulan jika kita terus mula menyimpan ketika mereka baru lahir.

Akan tetapi jika kita hanya bermula ketika anak kita berumur 8 tahun, maka kita perlu menyimpan sebanyak RM830 sebulan untuk mencapai jumlah RM150,000 ketika mereka berumur 18 tahun nanti. Jika kita bermula pada ketika anak berumur 8 tahun, bukan hanya kita perlu menyimpan dengan jumlah bulanan yang jauh lebih besar lebih dari dua kali ganda, kita juga perlu menyimpan dengan jumlah yang lebih besar iaitu hampir seratus ribu ringgit berbanding dengan hanya hampir tujuh puluh ribu ringgit jika kita bermula sebaik anak baru lahir.

Umur anak semasa bermula pelaburan (tahun)
0
8
Tempoh pulangan berganda (tahun)
18
10
Pelaburan bulanan (RM)
321
830
Jumlah yang dilabur (RM)
69,336
99,600
 
 
 
Jumlah pelaburan* pada ketika anak berumur 18 tahun (RM)
150,436
150,465


* Andaikan kadar pulangan unit amanah adalah tetap pada 8% setahun. ini hanyalah ilustrasi sahaja dan tidak menunjukkan prestasi masa dahulu atau hadapan mana-mana dana unit amanah.


Friday, 29 April 2016

KWSP - Pendaftaran i - Akaun Dipermudahkan

Entri 33
Teks : Mohd Azhar Awang & Sumber dari KWSP
 
Seperti yang tuan/puan sedia maklum, KWSP mempunyai satu skim pengeluaran yang dinamakan Skim Pengeluaran Pelaburan Ahli. Pengeluaran ini membolehkan ahli mengeluarkan sebahagian simpanan Akaun 1 untuk membuat pelaburan bagi menambah dan meningkatkan simpanan persaraan untuk menyara kehidupan semasa persaraan. Ahli boleh melaburkan simpanan tidak melebihi 20% daripada jumlah yang melebihi Simpanan Asas dalam Akaun 1 melalui Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.
 
Dalam kerja saya sehari-hari sebagai Perunding Unit Amanah, seringkali saya mendapat pelanggan yang terlalu sibuk untuk mendapatkan penyata KWSP mereka tetapi berhasrat untuk membuat pengeluaran dari KWSP untuk dilaburkan di Public Mutual. Dalam kes yang sedemikian, saya menyarankan mereka untuk mempunyai i-akaun.
 
Kini pendaftaran i-akaun dipermudahkan untuk ahli. Ahli KWSP kini mempunyai pilihan yang lebih mudah untuk mendaftar i-Akaun tanpa perlu hadir ke Kaunter atau Kiosk KWSP. Penambahbaikan ini bertujuan memudahkan ahli mendaftar i-Akaun dan seterusnya menggalakkan penggunaan akaun ‘online’KWSP.

Mulai 24 Jun 2013, ahli boleh memilih untuk mendapatkan kod pengaktifan i-Akaun dengan cara menghubungi Pusat Panggilan KWSP di talian 03-8922 6000. Sebelum ini ahli boleh mendapatkan kod pengaktifan i-Akaun di Kios atau Kaunter KWSP sahaja. Setelah pengesahan dan pendaftaran dilakukan, ahli akan menerima SMS kod pengaktifan melalui telefon bimbit yang didaftarkan, seterusnya ahli perlu mengaktifkan i-Akaun melalui laman web myEPF dalam tempoh 90 hari.

Bagi pemilik i-Akaun, mereka kini boleh mengunakan pelbagai perkhidmatan online yang disediakan seperti:
1. Memohon e-Pengeluaran
2. Menyemak Penyata KWSP tahun terkini dan tahun sebelumnya
3. Menyemak status permohonan pengeluaran dan sejarah pengeluaran
4. Menyemak maklumat penamaan
5. Mengira anggaran jumlah layak untuk pengeluaran, simpanan dan pelaburan
6. Mengemaskini profil termasuk alamat surat-menyurat
7. Menyemak transaksi caruman KWSP terkini
8. Menyemak log aktiviti i-Akaun

Untuk maklumat lanjut, tuan/puan boleh melayari laman web kwsp di http://www.kwsp.gov.my
 

Thursday, 28 April 2016

KWSP - Skim Pengeluaran Pelaburan Ahli

Entri 32
Teks : Ekstrak dari laman web KWSP

TUJUAN
  • Pengeluaran ini membolehkan ahli mengeluarkan sebahagian simpanan Akaun 1 untuk membuat pelaburan bagi menambah dan meningkatkan simpanan persaraan untuk menyara kehidupan semasa persaraan.
  • Ahli boleh melaburkan simpanan tidak melebihi 20% daripada jumlah yang melebihi Simpanan Asas dalam Akaun 1 melalui Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

SIMPANAN ASAS

Simpanan Asas adalah satu jumlah simpanan dalam Akaun 1 yang ditetapkan mengikut umur bagi membolehkan ahli memperoleh simpanan minimum sekurang-kurangnya RM196,800.00 ketika berumur 55 tahun dan simpanan ini tidak boleh dikeluarkan sebelum ahli mencapai umur 55 tahun. Kadar Simpanan Asas ini ditanda aras dengan pencen minimum pekerja sektor awam bersamaan RM820 sebulan untuk tempoh 20 tahun dari umur 55 hingga 75 tahun.
Jadual Simpanan Asas adalah seperti berikut:-


UMUR (TAHUN)
SIMPANAN ASAS (RM)
UMUR (TAHUN)
SIMPANAN ASAS (RM)
 
 
 
 
18
1,000
37
54,000
19
2,000
38
59,000
20
4,000
39
64,000
21
5,000
40
69,000
22
7,000
41
76,000
23
9,000
42
81,000
24
11,000
43
88,000
25
13,000
44
95,000
26
15,000
45
102,000
27
18,000
46
109,000
28
21,000
47
117,000
29
24,000
48
125,000
30
27,000
49
134,000
31
30,000
50
143,000
32
34,000
51
153,000
33
37,000
52
163,000
34
41,000
53
174,000
35
46,000
54
185,000
36
50,000
55
196,800

 
KELAYAKAN MEMOHON
(i) Warganegara Malaysia; ATAU
(ii) Warganegara Malaysia yang telah membuat pengeluaran di bawah Pengeluaran Meninggalkan Negara sebelum 1 Ogos 1995 dan kemudian memilih untuk mencarum semula dengan KWSP; ATAU
(iii) Bukan warganegara Malaysia yang ;
  • Menjadi ahli sebelum 1 Ogos 1998; ATAU
  • Mendapat taraf Penduduk Tetap (PR)

Ahli belum mencapai umur 55 tahun pada tarikh permohonan diterima oleh KWSP; DAN

Ahli mempunyai simpanan Akaun 1 yang melebihi jumlah simpanan asas sekurang kurangnya sebanyak RM5,000.00

SYARAT-SYARAT PENGELUARAN

IPD Yang Dibenarkan
  • Semua pelaburan yang dibuat hendaklah melalui IPD yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan. Untuk mendapatkan senarai terkini IPD yang diluluskan, sila rujuk Senarai Institusi Pengurusan Dana terkini yang boleh diperolehi di mana-mana cawangan KWSP yang berhampiran atau dengan melayari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my.

Kekerapan Pelaburan
  • Pelaburan boleh dibuat setiap tiga bulan selepas tarikh pelaburan sebelumnya, tertakluk kepada baki yang ditetapkan di dalam Akaun 1.
  • Pelaburan seterusnya boleh dibuat dengan IPD yang sama atau IPD lain yang diluluskan. Pelaburan dibenarkan dengan satu IPD pada satu masa.

Pelaburan Secara Terus
  • Pelaburan secara terus adalah tidak dibenarkan. Semua pelaburan hendaklah dibuat melalui IPD yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

 Penambahan Pelaburan Menggunakan Wang Sendiri
  • Ahli tidak dibenarkan membuat pelaburan tambahan menggunakan wang sendiri.

Tanggungan Risiko Pelaburan
  • Ahli bertangggungjawab sepenuhnya ke atas pelaburan ini. Ini bermakna jika berlaku kerugian, KWSP tidak akan bertanggungjawab.

 Pengembalian Wang Pelaburan Kepada KWSP
  • Ahli hendaklah mengembalikan semua amaun yang dilaburkan (termasuk keuntungan) kepada KWSP sebaik sahaja amaun pelaburan tersebut dijual. Amaun yang dikembalikan akan dikreditkan semula ke Akaun 1.
  • Ahli tidak boleh mengeluarkan apa-apa amaun (‘no leakages’) daripada jumlah yang dilaburkan di IPD.

Dividen Tahunan KWSP Atas Amaun Yang Dilaburkan
  • Ahli tidak akan memperoleh sebarang dividen yang diisytiharkan oleh KWSP ke atas amaun yang dilaburkan kerana simpanan ini tidak dilaburkan oleh KWSP.

Jika IPD Yang Terpilih Terkeluar Daripada Senarai IPD
  • Pelaburan ahli dengan IPD ini perlu dijual dan dikembalikan kepada KWSP oleh IPD tersebut.

Bayaran Perkhidmatan
  • Tiada bayaran perkhidmatan dikenakan oleh KWSP.

Pelepasan Kawalan Ke Atas Pelaburan
  • KWSP akan melepaskan kawalan ke atas pelaburan ahli di IPD apabila ahli mencapai umur 55 tahun atau mengeluarkan semua simpanan ahli di bawah Pengeluaran Meninggalkan Negara, Pengeluaran Hilang Upaya, Pengeluaran Pekerja Berpencen dan Pengeluaran Kematian.
  • Tuntutan atau urusan penjualan semula ke atas amaun yang dilaburkan adalah di antara ahli / waris dengan pihak IPD.

 Penamaan
  • Amaun yang dipindahkan kepada IPD tidak tertakluk kepada penamaan yang dibuat oleh ahli. Bagi ahli yang meninggal dunia, amaun yang dilaburkan akan dilepaskan kawalannya oleh KWSP. Bayaran kepada waris ahli akan dibuat oleh IPD mengikut undang-undang yang berkenaan.

AMAUN YANG LAYAK DIKELUARKAN
Ahli boleh mengeluarkan simpanan sepertimana berikut :-
  •  20% daripada jumlah simpanan yang melebihi Simpanan Asas dalam Akaun 1·
  •  Jumlah miminum pengeluaran pelaburan adalah RM1,000.00·
  •  Jumlah maksimum tidak melebihi 20% daripada jumlah simpanan yang melebihi Simpanan Asas
  •  Formula : (Akaun 1 – Simpanan Asas) x 20%·

Untuk maklumat lanjut mengenai Skim Pengeluaran Pelaburan Ahli, tuan/puan boleh melayari laman web kwsp di http://www.kwsp.gov.my/portal/ms/web/kwsp/member/members-savings-investment-withdrawal