Monday 29 August 2016

Mereka yang tidak sepatutnya mendapat Pinjaman Perniagaan - Bahagian I

Entri 45
Teks : Mohd Azhar Awang

Sebagaimana post saya semalam, ada saya nyatakan bahawa terdapat tiga golongan yang saya kategorikan sebagai PERLU, TIDAK PERLU dan TIDAK SEPATUTNYA mendapat pinjaman perniagaan.
 
Walaupun sesetengah kenyataan agak pedih untuk diterima, namun saya lebih suka bersikap objektif dengan menyatakan perkara sebenar daripada cuba menjadi seorang yang popular tetapi tidak bercakap benar. Ok, saya bermula dengan mengapa sesetengah golongan saya kategorikan sebagai TIDAK SEPATUTNYA mendapat pinjaman perniagaan. Golongan pertama adalah mereka yang baru sahaja mula berniaga tetapi terus hendak mendapatkan pinjaman bank dan bukan itu sahaja, mereka bersandarkan sebahagian besar kepada pinjaman perniagaan untuk memulakan perniagaan mereka. Golongan kedua adalah golongan yang akan menyalahguna pinjaman perniagaan berdasarkan kecenderungan tertentu mereka.
 
Ulasan saya mengenai golongan pertama, pada fikiran mereka, mereka hanya boleh berniaga jika mendapat pinjaman perniagaan malah sesetengah dari mereka berhasrat untuk mendapat pinjaman perniagaan seratus peratus. Pada fikiran mereka, semakin besar pinjaman perniagaan yang mereka boleh dapat, semakin mudah mereka menjalankan perniagaan.
 
Golongan ini akan menyalahkan pihak bank jika mereka gagal mendapat pinjaman bank sedangkan pihak bank juga mempunyai kriteria-kriteria tertentu dalam meluluskan pinjaman perniagaan. Mereka yang menyalahkan pihak bank mungkin terlupa bahawa pihak bank juga bertanggung jawab kepada pihak tertentu, kepada pemegang-pemegang saham misalnya terutama bank-bank komersial. Malah jika ianya dana-dana kerajaan, kita perlu mempunyai sikap bahawa kita bertanggungjawab kepada rakyat yang lain yang juga memerlukan dana tersebut yang boleh diperolehi jika kita membayar balik setiap sen yang kita pinjam mengikut kadar yang telah ditetapkan.
 
Sebenarnya apabila pihak bank tidak meluluskan pinjaman mereka, ianya adalah baik untuk perniagaan tersebut. It is kind of service to the company instead of disservice to the company. Sebabnya jika pinjaman tersebut diluluskan, kecenderungan untuk pinjaman tersebut menjadi pinjaman tidak berbayar adalah tinggi memandangkan mereka masih belum mantap dalam bisnes mereka yang memungkinkan perniagaan tersebut gagal. Komitmen mereka terhadap dana yang diperuntukkan juga adalah rendah memandangkan sebahagian besar dana yang diguna dalam perniagaan adalah bukan wang mereka sendiri. Saya katakan baik untuk perniagaan mereka jika pinjaman perniagaan tidak diluluskan untuk golongan ini kerana jika perniagaan mereka gagal, akan menjadi lebih sukar untuk mereka bangun dengan hutang bank yang terpikul di bahu mereka jika mereka jatuh berbanding dengan jatuh tanpa adanya hutang yang perlu dipikul.
 
Saya akan sambung mengenai golongan kedua iaitu golongan yang akan menyalahguna pinjaman perniagaan berdasarkan kecenderungan tertentu mereka dalam post saya yang berikutnya.
 

No comments:

Post a Comment